Firdaus Hashim

“SEBENARNYA provokasi penyokong Indonesia dah bermula masa kami sampai di stadium waktu petang lagi. Tapi, masa itu semuanya masih terkawal.

Tapi, yang paling dahsyat masa separuh masa kedua, banyak objek keras jatuh atas kepala kami. Nasib baik saya dapat mengelak, tapi keadaan bertambah tegang bila penyokong mereka mula lari masuk ke arah penyokong kita.

Mereka (penyokong Indonesia) hampir nak robohkan dinding di tepi tempat duduk dan bayangkan kalau roboh mesti keadaan lagi berbahaya.

Bila dah kena serang kami tak boleh duduk lagi di tempat penonton sebab itu kami diarahkan untuk masuk ke terowong bawah tanah yang juga tempat laluan pemain.

Ketika semua nak keluar panjat pagar ke laluan bawah tanah itu, saya diserang penyokong Indonesia dan kemudian terjatuh atas balapan hingga menyebabkan tangan kiri saya patah.

Saya dibawa ke ambulans, tapi disebabkan terpaksa menempuh depan penyokong mereka, pegawai perubatan minta untuk koyakkan baju saya yang tertera nama Malaysia.


ZULRAINI dikejarkan ke hospital selepas cedera diserang penyokong Indonesia.

Bila dah masuk ambulans, kami tak boleh keluar dan menunggu hampir 30 minit. Memandangkan keadaan saya semakin teruk, mereka terpaksa bawa saya keluar tanpa membunyikan siren kerana bimbang penyokong tuan rumah akan menghalang kenderaan itu.

Selepas beberapa minit perjalanan saya sampai di hospital dan menjalani rawatan serta imbasan imbasan MRI dan X-ray sebelum disahkan patah tangan kiri yang mana sendi saya terkeluar.

Doktor minta saya tinggal untuk beberapa hari lagi, tapi saya tak nak. Esok paginya (Jumaat) polis menghantar saya ke lapangan terbang sebab ada penyokong Indonesia yang tunggu di sana.

Takkan serik. Walaupun sampai hari ini, tak ada mana-mana wakil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau kerajaan menghulurkan bantuan, saya tetap bersemangat demi Harimau Malaya.”


ZULRAINI patah tangan kiri. FOTO Eizairi Shamsudin

Itu luahan penyokong Ultras Malaya, Mohd Zulraini Helmi, 39, yang patah tangan kiri ketika diserang oleh sekumpulan penyokong Indonesia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Menurutnya, insiden keganasan yang dicetuskan penyokong tuan rumah berlaku dengan cukup pantas terutama selepas skuad Harimau Malaya berjaya meraih gol kedua pada minit ke-66.

Katanya, pelbagai objek bahaya dilontarkan oleh penyokong skuad Garuda yang duduk di tingkat atas ke arah penyokong negara yang berada di bahagian bawah bersebelahan tempat duduk media.


PENYOKONG Indonesia bertindak agresif dengan memanjat pagar yang memisahkan kawasan penyokong Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin

Antara objek yang dibaling adalah batu besar, botol berisi air kencing, botol kaca, pengecas telefon bimbit, bom asap dan kayu.

Malah katanya, kelibat beberapa penyokong fanatik Indonesia turut kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta yang berlegar-legar dengan memakai pakaian serba hitam untuk mencederakannya dan penyokong lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:00 AM