Amirul Haswendy Ashari.


TERKEJUT dan hilang kata-kata. Itu situasi dialami peminat cilik skuad Harimau Malaya, Omar Saiful Razman, 8, sebaik dipertemukan dengan pemain idolanya, Mohamadou Sumareh di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan, hari ini.

Detik pertemuan bersejarah itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun Facebook rasmi persatuan itu, 10.30 pagi hari ini.

Dalam video berdurasi 4 minit 40 saat itu, Sumareh turut disertai kapten Harimau Malaya yang juga penjaga gol, Farizal Marlias bersama pemain pertahanan, Shahrul Saad dan penyerang, Syafiq Ahmad.

Tanpa melengahkan masa, Omar yang ditemani ibunya, pelakon Nadiya Nisaa terus menyerahkan lukisan dan kad ucapan mengandungi kata-kata semangat daripada Omar dan rakannya.

“Saya nampak video awak. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada ibu awak. Saya peminat awak dan seluruh keluarga awak,” kata Sumareh.

Pemain Pahang berasal dari Gambia itu turut menyerahkan beberapa keping tiket kepada Omar untuk menyaksikan perlawanan menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Sumareh berkata, dia sangat beremosi ketika menonton video tular tempoh hari yang menunjukkan reaksi penuh bersemangat Omar meraikan kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia 3-2, Khamis lalu.

“Saya gementar untuk bertemu dengan Omar pada hari ini,” luah pemain itu dan mengajak Omar mengiringinya masuk ke padang sebelum perlawanan bermula pada Selasa ini.

Dalam pada itu, selain mengucapkan ‘Good Luck’, Omar mengambil kesempatan berkongsi tips kepada skuad kebangsaan terutama cara menumpaskan pasukan UAE.

Apatah lagi sebelum pertemuan itu, Nadiya memberitahu, Omar sudah melakukan carian di Google mengenai corak permainan UAE.

“Omar tahu perlawanan seterusnya adalah menentang UAE dan sejak dari itu, dia mula 'Google' mencari kelemahan pasukan lawan.

“Dia risau sebab UAE pernah kalahkan Malaysia sebelum ini, tapi saya bagi semangat mungkin Malaysia boleh menang sebab bermain di negara sendiri sambil menyuruhnya berdoa banyak-banyak setiap kali solat supaya Harimau Malaya menang.

“Dia beritahu kalau jumpa pemain Harimau Malaya, dia nak kongsi tips itu supaya mereka dapat menambah baik corak permainan pada Selasa nanti,” kata Nadiya.

Pada pertemuan yang diaturkan FAM itu, Omar turut menerima jersi yang ditandatangani Sumareh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:11 PM
SAIFUL Omar (dua dari kiri) gembira dapat bertemu Sumareh (kiri), Farizal serta Shahrul di sebuah hotel di Seri Kembangan, hari ini. FOTO ihsan FAM.