SITI NORDIANA anggap pencapaian tertinggi untuk seseorang selebriti dalam kerjaya.
Norhayati Nordin


KENANGAN zaman suram dalam karier seni yang pernah dilalui penyanyi diminati ramai, Siti Nordiana Alias, 35, pasti kian terubat dengan populariti yang dinikmatinya kini.

Kebangkitan kali kedua Siti Nordiana atau mesra disapa Nana nyata tidak sia-sia apabila personaliti ibu tunggal seorang anak lelaki ini begitu dikagumi.

Walaupun perlu bersaing dengan bakat baharu yang tidak kurang hebatnya, pencapaian Nana kini boleh dilabel pada tahap tersendiri.

Malah, Nana turut mendominasi enam kategori dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 yang akan berlangsung pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kategori itu ialah Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Gandingan Serasi Drama Popular dan Lagu Paling Boom.

Nana berkata, tercalon sebagai Top 5 dalam semua kategori itu adalah hasil usaha dan kerja keras ahli kelab peminatnnya yang rajin menghantar undian.

“Saya tidak menyangka kasih sayang peminat terhadap saya begitu besar sehingga mereka gigih mengundi tanpa dipinta. Bahkan, mereka juga sering mengingatkan saya berkongsi pautan undian.

“Kasih sayang diberikan peminat ini hanya Allah saja mampu membalasnya. Saya sentiasa doakan mereka berada dalam lindungan dan rahmat Allah,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan kemenangannya untuk Bintang Paling Popular, Nana berkata, dia menyerahkan semuanya kepada ketentuan rezeki.

Katanya, dicalonkan sebagai Top 5 pun sudah membuat dia sangat bersyukur kerana peminat sudah banyak berusaha untuknya. Mereka benar-benar sayangkan saya. Selepas membaca komen dituliskan buat saya, saya tahu mereka ikhlas sayangkan saya.

“Sebagai selebriti, saya akui disayangi sepenuh hati oleh peminat sudah memadai. Untuk menang anugerah, ia adalah bonus. Bagi saya, pencapaian tertinggi untuk seorang selebriti dalam kerjaya dan kehidupan apabila disayangi ramai peminatnya.

“Mereka sanggup buat apa saja untuk kita (selebriti). Terus menyokong karier dalam jatuh bangunnya, terima baik buruk selebriti itu, ia kejayaan yang sangat besar,” katanya.

Sehubungan itu, Nana sentiasa berusaha memberi yang terbaik buat peminatnya sebagai tanda terima kasih dan menghargai segala sokongan diberikan.

Kini, Nana berada di Pulau Tioman, Johor bersama pasukan kelab peminatnya untuk sesi percutian bersama dan beramah mesra.

BERSAMA Khai bahar

‘Teruskan doa yang baik-baik’

Selain perjalanan karier yang cemerlang, sisi peribadi Nana juga menarik perhatian peminatnya. Apatah lagi, kini Nana muncul dengan lagu duet berjudul Satukan Rasa bersama Khai Bahar.

Ternyata, gandingan ini sangat ditunggu-tunggu peminat kerana duet Nana dan Khai dilihat begitu serasi.

Berbicara mengenainya, Nana berkata, dia dan Khai amat gembira dapat merealisasikan impian peminat sejak tiga tahun lalu.

“Selepas gandingan nyanyian saya dan Khai mendapat sambutan di luar jangka daripada peminat pada aplikasi Smule, kami melihatnya sebagai sokongan positif.

“Menerusi komen yang ditulis pada video nyanyian kami di YouTube, kebanyakannya sangat menyukai dan menerima baik.

Terima kasih di atas segala doa yang baik-baik itu. Saya terima doa itu sebagai keprihatinan peminat terhadap hubungan baik kami,” katanya.

Nana berkata, dia dan Khai sangat profesional dengan kerja dilakukan mereka dan semoga hubungan baik dijalin itu bertahan sampai bila-bila.

Dalam perkembangan lain, Nana dan Khai akan berganding untuk satu drama baharu yang akan disiarkan slot Megadrama Astro.

Nana berkata, mereka dijangka memulakan penggambaran pada 11 September ini dan Satukan Rasa akan menjadi lagu tema drama itu.

Bagaimanapun, Nana berkata, setakat ini tajuk sebenar drama berkenaan belum diputuskan dan dia mengharapkan segala urusan lakonan berjalan lancar dan peminat akan menyukainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:30 AM