Firdaus Hashim


DI atas kertas, Emiriah Arab Bersatu (UAE) jelas berada pada kelas tersendiri jika dibandingkan dengan Malaysia.

Skuad Asia Tengah itu menduduki ranking ke-65 dunia manakala Harimau Malaya yang dibimbing Tan Cheng Hoe pula di ke-159.

Keadaan itu sudah cukup untuk menceritakan apa yang bakal dilalui Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

Bagaimanapun, ia langsung tidak menggentarkan pemain negara yang rata-rata yakin mampu membuat kejutan seperti mana yang dilakukan ketika membenam Indonesia 3-2 di Gelora Bung Karno, Khamis lalu.

Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid berkata, misi untuk memungut tiga mata di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan apatah lagi mereka bakal bermain di depan penyokong sendiri.

Katanya, motivasi pemain ketika ini jelas berada pada tahap terbaik dan percaya kejutan kedua mampu dilakar barisan Harimau Malaya.


SKUAD Harimau Malaya giat berlatih di Stadium Kuala Lumpur Cheras, semalam.

“Untuk perlawanan dengan UAE nanti, ia pasti bukan mudah dan kehadiran pemain-pemain ternama seperti Omar Abdulrahman dan lain-lain akan membuatkan kami berada dalam keadaan sukar.

“Tapi saya rasa perlawanan itu nanti akan berlangsung dalam keadaan menarik dan kami mahu beraksi dengan cara sendiri serta keyakinan tinggi terutama selepas menang dengan Indonesia.

“Insya Allah kami sudah semakin meningkat dan tak mustahil kita boleh dapat keputusan positif, Selasa ini (malam esok),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, semalam.

Jelas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, kejayaan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee menewaskan pasukan B-23 UAE tahun lalu boleh dijadikan sumber inspirasi memandangkan lawan itu turut diperkuatkan hampir 12 pemain B-23.

“Tahun lalu Malaysia menang di Stadium Shah Alam dengan keputusan 2-0. Tapi itu skuad B-23 dan ini adalah aksi pasukan senior. Tapi kita boleh ambil semangat itu untuk memastikan kemenangan nanti dan pada saya semua kena fokus 100 peratus dan berikan segala-galanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:00 AM
SAFAWI