GHAZ selaku pengarah.
GHAZ selaku pengarah.
Ramlah Zainal


TELEMOVIE Kerusi Kecil bukan saja mengangkat jalan cerita yang dekat dengan masyarakat, malah turut memaparkan keindahan pulau dan tarikan tempat menarik di Terengganu.

Cerita genre romantis arahan pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar itu juga menampilkan pelakon dan pelawak popular Zizan Razak selaku teraju utamanya.

Selaku pengarah, Ghaz berkata, dia menerima tawaran untuk mengarahkan telemovie itu kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Sebaik saja membaca skrip telemovie ini, saya sudah tahu Zizan pelakon yang tepat untuk melakonkan watak utamanya.

“Mungkin peminat sudah sinonim dengan lakonan Zizan dalam filem Polis Evo, tetapi saya tampilkan sisi berbezanya dari aspek kemanusiaan dalam telemovie ini.

“Berjaya atau tidak peminat melihat sisi lain Zizan dalam telemovie ini, ia bergantung pada hasil lakonannya nanti,” katanya.

Ghaz ditemui pada majlis pelancaran syarikat Adtisha Productions dan penerbitan Telemovie Kerusi Kecil yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit Adtisha Productions, Mohd Ady Hafize Hanaffiah dan isterinya, pelakon Tisha Shamsir serta penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim.

Zizan pilih Bella sebagai heroin

Mengenai pemilihan pelakon Bella Astillah, kata Ghaz, dia juga menyerahkan kepada Zizan bagi memilih watak heroin untuk berganding dengannya dalam telemovie itu.

“Zizan ada mencadangkan beberapa nama pelakon wanita dan akhirnya kami sepakat memilih Bella untuk watak heroin selepas perbincangan bersama penerbit, Adtisha Productions.

“Kami percaya, walaupun masih baru, pemilihan Bella tepat untuk watak heroin dalam telemovie ini,” katanya.

Mengulas pemilihan lokasi pula, kata Ghaz, ia dipilih kerana tarikan pulau yang ada di Terengganu dan sesuai dengan jalan ceritanya.

“Penerbit Telemovie ini, Mohd Ady dan Zizan sendiri memang berasal dari Terengganu dan ia memudahkan kerja penggambaran yang akan berlangsung minggu ini.

“Apa yang penting, walaupun judul telemovie ini simbolik, ceritanya juga memaparkan semangat setia kawan dalam persahabatan serta perpaduan membabitkan perbezaan kaum dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Telemovie Kerusi Kecil menampilkan barisan pelakon seperti Wan Hanafi Su, Tisha Shamsir, Bell Ngasri, Raykarl Iskandar, Qistina Raisah, Nik Adam Mika, Asri Ismail, Alvin Wong dan Jessy Lim.

Penggambaran telemovie itu membabitkan lokasi menarik sekitar Pulau Perhentian dan Kuala Terengganu bakal disiarkan di RTM.

Ia menceritakan mengenai seorang lelaki yang kreatif dalam mengejar impian dalam dunia perniagaan perabot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:25 AM
Digital NSTP Subscribe