Breadan ketika sesi latihan Skuad Harimau Malaya. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
Breadan ketika sesi latihan Skuad Harimau Malaya. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


“JANGAN fikirkan sangat Omar Abdulrahman.” Itu reaksi pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan ketika bercakap mengenai pertemuan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Jelas Brendan, kehadiran pemenang Anugerah Pemain Terbaik Asia 2016 itu sememangnya memberi ujian getir buat pasukan negara yang memburu kemenangan kedua selepas menundukkan Indonesia 3-2 pada aksi pertama, di Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

“Dia (Omar) pemain yang menakjubkan. Tapi dalam masa sama kami juga pemain. Kami juga mahu menang... bukan seri atau kalah. Kami perlu sentiasa fokus dan mengikut segala perancangan jurulatih bagi menghadapi perlawanan yang saya sifatkan satu lagi ujian sukar selepas aksi di Indonesia sebelum ini.

“Kalau kami beraksi mengikut taktikal dan fokus kepada permainan, tak mustahil kami mampu membuat kejutan ke atas UAE malam esok (malam ini),” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Brendan, 31, berkata, dia berharap pasukan negara cepat menyesuaikan diri dan mengawal emosi terutama di babak pertama bagi mengelak skrip sama berulang seperti mana yang berlaku ketika menentang Indonesia sebelum ini.

Pada aksi di Jakarta itu, anak buah Cheng Hoe dilihat lambat panas apabila ketinggalan dua kali pada separuh masa pertama sebelum bangkit memperkemaskan aksi di babak kedua.

“Saya rasa ketika menentang Indonesia kami bermula perlahan dan agak gugup. Tapi kami bangkit dengan lebih kemas di babak kedua di mana pemain-pemain mula mengawal emosi masing-masing. Ia perlu dijadikan pengajaran. Kami tak boleh bermula perlahan, sebaliknya harus segera menyesuaikan diri agar misi untuk melakar kejutan kedua tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:00 AM