MAMAT dan rakannya ditahan reman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan.
Mohd Sabran Md Sani


BEKAS vokalis kumpulan Exists, Mamat yang bakal mengadakan konsert reunion bersama anggota asal kumpulan itu 28 September ini ditahan polis selepas didapati positif mengambil dadah syabu.

Penyanyi lelaki berusia 41 tahun terbabit sebelum ini pernah diberkas polis sebanyak dua kali berhubung isu sama pada tahun 2009 dan 2011.

Dalam kes terbaru jam 11.30 malam kelmarin, Mamat atau nama penuhnya Mohd Ali Kamarudin ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di sini.

Penyanyi terbabit yang pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza sebelum ini ditahan bersama seorang lagi rakan lelakinya.

Penyanyi terbabit sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui peket berisi serbuk putih disyaki dadah itu di dalam dompet milik penyanyi terbabit.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki ditahan itu positif dadah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan artis terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Pada Mei 2017, Mamat pernar didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam badannya pada 21 Mac 2011.

Dia diperintah menjalani pengawasan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.

Manakala pada 9 November 2010, Mamat ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya memiliki barang curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 yang dilaporkan hilang di Tampoi, Johor Bahru.

Ketika ditahan, dia turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Difahamkan Mamat dan rakanya ditahan reman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan kerana memiliki dadah.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Sesyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sesyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:11 AM