PEMAIN UAE, Walid Abbad Murad (kiri) disaingi pemain Malaysia, Safawi Rasid (tengah) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 diantara Malaysia bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/MOHD YUSNI ARIFFIN
Firdaus Hashim


SKUAD Harimau Malaya hampir mencipta sensasi pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila nyaris memalukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

UAE yang berada di tangga ke-65 dunia, terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas Malaysia yang menduduki ranking ke-159 memberi tentangan sengit sepanjang 90 minit aksi sebelum tewas 1-2.

Dalam aksi kedua kelayakan itu, Tan Cheng Hoe melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menyenaraikan Mohamadou Sumareh di dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Hadin Azman.

Sebaik tiupan wisel dibunyikan pengadil, Hiroyuki Kimura dari Jepun, pelawat dikejutkan dengan gol awal menerusi tandukan Syafiq Ahmad yang menerima hantaran lintang Matthew Davies.

Jaringan minit pertama itu jelas menaikkan semangat pemain negara yang terus mendominasi permainan namun ketumpulan jentera depan sedikit mengecewakan.

UAE yang dibimbing antara jurulatih terbaik dunia, Bert van Marwijk yang membawa Belanda muncul naib juara Piala Dunia 2010, dilihat tertekan dengan persembahan pantas pemain tuan rumah.

Syafiq dan Norshahrul Idlan Talaha harus menyalahkan diri sendiri apabila percubaan masing-masing pada minit ke-14 dan 23 gagal menepati sasaran meskipun berpeluang menambah jaringan.

Namun, ketika aksi memasuki minit ke-43, benteng negara terperangkap dengan bola hantaran jauh pemain UAE yang meraih gol pertama hasil tandukan Ali Ahmed Mabkhout sekali gus memperdayakan ketua pasukan negara, Farizal Marlias.

Skuad negara terus mempamer aksi bertenaga pada babak kedua dan kemasukan dua tonggak, J Partiban dan Syamer Kutty Abba yang menggantikan Norshahrul dan Sumareh berjaya menambah sengat di jentera serangan.

Skuad The Whites yang terdesak mahukan kemenangan turut membuat pertukaran memasukkan pemain terbaik Asia 2016, Omar Abdulrahman dan hasilnya pelawat meraih gol kedua hasil kesilapan benteng yang menyaksikan Mabkhout sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-75.

Malaysia seharusnya mengikat kedudukan tiga minit kemudian namun rembatan padu Safawi sekadar singgah di tiang ketika Khalid Eisa Bilal sudah pun tertewas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:00 AM