KU Nurul Amirah meninggal dunia semalam. Suami, Muhd Ridzo dan anak, Ahmad Ariffin meninggal dunia di lokasi kemalangan pada 3 September lalu. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


WANITA yang parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR), 3 September lalu meninggal dunia pada 9.45 pagi di Hospital Sungai Buloh (HSB), semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33 disahkan meninggal dunia selepas lapan hari dirawat di HSB.

“Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas lapan hari dirawat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro pada 3 September lalu melaporkan dua beranak maut selepas Proton Persona dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah treler dan terbakar.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37 dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin, dua tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Manakala Ku Nurul Amirah parah pada kepala dan seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Danish, dua tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Bandar Tasik Puteri, Rawang selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Kemerdekaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

'Pertemuan terakhir semalam' [METROTV]

Ajal dua beranak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 12:10 PM