HANTARAN Tuanku Azizah di laman sosial sebelum baginda menyahaktifkan akaun peribadi di Twitter. FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani


SELEPAS Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun Twitter gara-gara komen kurang sopan segelintir netizen, beberapa pengikut baginda tampil merayu supaya akaun terbabit diaktifkan semula.

Rata-rata pengguna Twitter kecewa kerana mereka tidak dapat lagi mengikut perkembangan semasa Tunku Azizah yang cukup dikenali sebagai raja berjiwa rakyat.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama @iffgone menulis, sejak akhir-akhirnya dia merasai ada penyeri di laman sosial apatah lagi dengan kehadiran Tunku Azizah yang cukup merendah diri sejak sekian lama.

Malah, ada yang memberitahu, Tunku Azizah memang berjiwa rakyat sejak dahulu lagi termasuk turut sama membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir di Pahang.

“Bagindalah sibuk memasak hingga tangan sampai berbalut. Masalah sekarang ialah hati seseorang bila tidak elok malah jadilah benda macam ini,” tulis pengguna Twitter, @SpongeBobCatz.

Antara komen lain di Twitter ialah: “Tunku Azizah main twitter sebab tahu kita sekarang banyak hadap phone, social media dari TV. Main Twitter sebab tahu banyak warga Facebook teruk, judgemental. Pastu, ada yang bitter. Sampai RPA deactivated acc.

“Kat instagram dulu Tunku Azizah selalu masak masak tapi dah lama deactivate, lepas tu malaun mana entah buat bitter dah dia pun deactivate jugak Twitter dah hilang sumber keceriaan. Bitter macam ni habuk bawah peti ais.

“Saya bersedih dengan berita Permaisuri Agong yang telah “deactivate” Twitter. Apakah kerana Permaisuri Agong berduka dengan reaksi netizen yang kurang sopan?

“Kami mahu Permaisuri Agong kembali ke Twitter. Bring back all the positivity you showed to us all this while.”

Penutupan akaun Twitter rasmi milik Tunku Azizah, @cheminahsayang disedari sejak semalam dan menjadi perdebatan hangat serta ‘trending’ di media sosial.

Ada netizen yang berpendapat bahawa tindakan menyahaktifkan akaun Twitter kerana terdapat segelintir netizen mengeluarkan komen negatif mengenai perkongsian baginda.

Namun, ada netizen sedih malah menyelar segelintir netizen lain yang mengeluarkan komen jelek disifatkan sebagai menghina institusi beraja dan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan.

Raja Permaisuri Agong terkenal dengan sifat ramah dan berjiwa rakyat, malah baginda sering menggunakan akaun Twitter miliknya untuk berinteraksi dengan rakyat.

Tunku Azizah gemar berkongsi saat gembira dan telatah baginda. Kebanyakan netizen memang gemar melihat dan membalas ciapan baginda ada yang sehingga menjadi tular.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 1:04 PM