GAMBAR kenangan Muhamad Husni (kanan) bersama keluarga. FOTO Farah Suhaidah Othman dan Ihsan Keluarga
MUHAMAD Husni. FOTO Farah Suhaidah Othman dan Ihsan Keluarga
Farah Suhaidah Othman


“MAK CIK sedih hajat anak nak sambung mengaji (belajar) tidak kesampaian kerana sebelum ini dia tak minat langsung untuk mengaji,” kata Haslina Man, 51.

Anaknya Muhamad Husni Muhamad Anuar, 19, meninggal dunia akibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Cameron Highlands – Ipoh berhampiran Kampung Pos Raya di Ipoh, semalam.

Turut maut dalam kemalangan pada 3.20 petang itu, rakannya, Nur Aina Zafirah Abdul Malek, 17, yang membonceng motosikal ditunggang Muhamad Husni.

Haslina berkata, anak ketiganya daripada empat beradik itu pernah memberitahu yang dia tidak berminat sambung belajar selepas terbabit dalam kemalangan tiga tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun sejak kebelakangan ini arwah memaklumkan hasrat untuk menyambung pengajian di Pusat GiatMARA Jitra dalam bidang automotif, namun tidak menyangka itulah perubahan ketara Muhamad Husni sebelum terkorban dalam nahas berkenaan.

“Dia ada beritahu nak pergi Cameron Highlands dengan kawan-kawan dan bermalam di rumah sahabat baiknya, Syed Hafizun Al Wafa, 19, yang menetap di Taiping.

“Sebelum dia pergi, dia cium mak cik, kemudian patah balik cium lagi sekali. Mak cik tanya kenapa ni? Dia kata saja, sambil tersenyum.

“Itulah detik terakhir arwah bersama mak cik sebelum dia bertolak ke Cameron Highlands,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Syed Hafizun berkata, beberapa jam sebelum kejadian, dia terkejut apabila Muhamad Husni memberikan topi kesayangannya kepadanya.

“Arwah sayang sangat dengan topi ini tapi dia beri kepada saya sambil mengucapkan terima kasih kerana menjadi kawan terbaiknya,” katanya.

“Arwah juga minta pendapat saya sama ada untuk memakai kemeja-T warna putih atau merah yang akhirnya arwah memilih untuk memakai berwarna putih,” katanya.

Menurutnya, sepanjang percutian di Cameron Highlands, dia turut menyedari wajah rakannya pucat dan banyak mendiamkan diri serta termenung.

Jenazah Muhamad Husni akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Pisang, Jitra, Kedah selepas solat Asar, manakala jenazah Nur Aina Zafirah pula akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tinggi Bagan Serai.

Berita berkaitan

Dua remaja maut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:23 PM