PASUKAN polis memeriksa kawasan perumahan mangsa.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ENGGAN rujuk semula dipercayai menjadi punca seorang wanita dibunuh dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, kelmarin.

Mayat mangsa Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani di syarikat pengiklanan ditemui dibungkus dengan selimut dan ditutup dengan timbunan bantal jam 6 petang.

Sumber berkata, sebelum ini bekas suami mangsa didakwa sudah beberapa kali datang memujuk wanita itu untuk merujuk kembali hubungan mereka.

“Namun, mangsa enggan rujuk semula sebelum berlaku pergaduhan dan mangsa dibunuh. Suspek kemudian melarikan diri dan kini sedang giat dikesan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh, semalam mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Pemeriksaan luaran mendapati mangsa cedera di kepala akibat hentakan objek tumpul namun tidak serius dan terdapat beberapa kesan lebam pada jari tangan kanannya.

“Punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditutup saluran pernafasan atau asphyxiation due to smothering,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, dia dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.


ANGGOTA polis mengusung mayat Nor Hidayah yang dipercayai mati dibunuh di Prima Damansara.

Bergaduh hingga buat laporan polis

“Beberapa hari sebelum kejadian, saya nampak ada anggota polis datang ke rumah wanita itu selepas menerima aduan, namun tiada apa yang berlaku.”

Begitu kata jiran kepada ibu tunggal Nor Hidayah Ahmad, 30, apabila mayatnya ditemui dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup dengan timbunan bantal di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, kelmarin.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengiklanan ditemui oleh bapanya berusia 61 tahun ketika berkunjung ke rumah sewa anaknya kira-kira jam 6 petang.

Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum ini, dia sering melihat mangsa bersama bekas suaminya dan tidak mengesyaki hubungan mereka bermasalah.

Katanya, sebelum ini ada jiran mengadu mendengar bunyi pergaduhan dari rumah sewa mangsa hingga ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Pagi semalam (kelmarin), saya terserempak dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai rakan wanita itu.

“Mereka memaklumkan mahu menjemput anaknya (anak mangsa) selepas menerima panggilan telefon daripada wanita itu yang minta berbuat demikian pada malam sebelumnya.

“Bagaimanapun, rakan mangsa memaklumkan bekas suaminya enggan membenarkan mereka masuk ke rumah sewa itu untuk menjemput anaknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


BEKAS suami mangsa yang menghilangkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:20 AM