Syazwan Msar


“TOLONG tunjukkan saya siapa yang layak mengisi posisi penyerang tulen negara.”

Itu reaksi pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terhadap kritikan segelintir pihak termasuk netizen berkaitan ketiadaan penyerang berbisa hingga barisan serangan gagal menjaringkan gol.

Malah, Cheng Hoe juga mempertahankan tindakan menurunkan penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha untuk mengemudi barisan serangan negara berikutan pemain terbabit dilihat mempunyai kelebihan tertentu untuk merobek gol lawan.

Beliau berkata, tugas menjaringkan gol bukan hanya terletak pada penyerang semata-mata, namun semua pemain membabitkan sayap, tengah dan juga benteng pertahanan mampu berbuat demikian pada setiap perlawanan.

Katanya, beliau tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian jentera serangan dan keputusan meletakkan Norshahrul atau Mat Yo diambil selepas berbincang dengan semua barisan kejurulatihan sebelum menurunkannya untuk beraksi.

“Cuba kamu cadangkan kepada saya siapa penyerang lain yang boleh diambil atau diuji mengemudi barisan serangan? Sudah semestinya perkara terbabit sukar disenaraikan lebih-lebih lagi ada antara penyerang hanya memanaskan bangku simpanan.

“Ada juga yang mempersoalkan kenapa tidak menurunkan Shahrel Fikri, namun apa yang saya lihat dia belum bersedia dan ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki untuk menjadi penyerang utama pasukan.

“Tugas menjaringkan gol tidak perlu diletakkan pada penyerang saja, namun kita boleh lihat pemain di posisi lain turut berkemampuan merobek gawang lawan dan perkara itu yang paling penting dalam perlawanan iaitu menghasilkan gol,” katanya ketika, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan skuad Harimau Malaya masih ketandusan penyerang utama seperti disaksikan dalam dua perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Malah, Mat Yo yang diberikan tanggungjawab menggalas posisi berkenaan gagal berbuat demikian seterusnya dihujani kecaman netizen di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Perkara terbabit diakui bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang melihat skuad Harimau Malaya ketandusan penyerang tulen atau peledak utama hingga menggagalkan peluang Malaysia meraih kemenangan ketika tewas 1-2 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, perkara terbabit seharusnya diperbaiki segera bagi menghadapi perlawanan akan datang dan sekarang ini adalah waktu sesuai Cheng Hoe menggunakan penyerang lebih muda dan bertenaga menggalas cabaran terbabit.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mempertahankan keputusan tidak menyenaraikan penyerang skuad Bawah 18 (B-18), Luqman Hakim Shamsudin kerana dia terlalu muda dan belum bersedia menggalas tugas berat itu.

“Luqman belum bersedia lagi bermain untuk skuad senior dan biarlah dia menimba ilmu dahulu sebelum diambil untuk mengisi posisi sebagai penyerang utama negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 6:00 AM