DUA beradik bersedih atas kehilangan ibu bapa mereka sekelip mata. FOTO Rozainah Zakaria.


MEREKA berjanji kepada dua anak untuk pulang hari ini, namun kepulangan suami isteri itu membawa bersama duka sekali gus menukar status si anak kepada yatim piatu.

Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isterinya Salimah Mohd Shafie, 39, mengungkap janji itu sebelum mengikuti konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Johor Bahru untuk acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2019.

Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat Jemaluang, Mersing pada 9.25 malam semalam.

Anak sulung pasangan itu, Nur Syazwany, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Oktober depan mengakui sukar menerima kehilangan itu yang berlaku sekelip mata.

“Memang abah dan ibu berjanji nak balik hari ini, tapi saya tidak menyangka mereka pulang dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Khairiah itu berkata, adiknya, Muhammad Akmal, 12, pula tidak sihat dan selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Rabu lalu.

Katanya, mereka hanya mengetahui kejadian berlaku selepas dimaklumkan datuk, Mohd Shafie Muhamad, 72.

“Setengah jam sebelum kejadian itu berlaku, abah ada telefon dan pesan supaya saya mengunci semua pintu dan menjaga adik serta berinya makan ubat.

“Muhammad Akmal demam dan tidak bermaya. Ketika abah dan ibu keluar rumah pada 7.30 pagi (semalam), kami tak sempat bersalaman kerana saya baru terjaga tidur dan adik pula masih lelap.

“Itu yang buatkan saya terkilan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, menantunya (Mohd Hanafi) yang bekerja sebagai jurujual kenderaan sangat meminati motosikal berkuasa tinggi dan membeli model Kawasaki Z800 yang ditunggang ketika kejadian.

“Sebelum ini, sebuah daripada motosikal berkenaan sudah dijual. Arwah sangat menyayangi motosikal terbabit.

“Saya dapat tahu kejadian menimpa anak dan menantu selepas dihubungi rakan arwah yang terselamat. Memang tak sangka mereka berdua pergi dahulu apatah lagi, hubungan kami akrab,” katanya.

Menurutnya, jenazah kedua-duanya dijangka disembahyangkan di Masjid Al Muktafi Billah Shah (AMNS) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Duyong, malam ini.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri maut motosikal bertembung kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 4:12 PM