MUHAMAD Husni Mahmud
Shamsul Munir Safini


BUTTERWORTH: Semuanya bermula dengan ‘senyuman’ yang akhirnya membongkar sindiket menjual maruah negara hingga tertangkapnya enam individu termasuk pegawai kerajaan dan lelaki bergelar Datuk.

Namun di sebalik kejayaan ini, ramai yang tidak tahu ada wira yang tidak didendang dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang yang berjaya mengesan dan menghalang pihak tidak bertanggungjawab berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Dedikasi dan amanah enam pegawai Imigresen yang bertugas pada hari kejadian berjaya membongkar komplot berkenaan selepas curiga melihat seorang wanita warga China yang memiliki MyKad hanya tersenyum serta berlaku masalah komunikasi ketika mahu membuat pasport miliknya.

Pengarah JIM Negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan enam kakitangannya yang berjaya mengesan cubaan jahat sindiket penjualan Mykad yang berjaya dibongkar polis baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan bertanggungjawab mereka menyelidik dan memeriksa secara terperinci permohonan yang dibuat ketika bertugas membolehkan penjenayah ini ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.


RENTETAN laporan sindiket MyKad sah yang didedahkan Harian Metro 12, 13 dan 14 September lalu.

“Tindakan cemerlang mereka sudah dimaklumkan kepada Putrajaya dan respon yang diberikan adalah positif.

“JIM negeri berharap semua kakitangan dapat melaksanakan tugas mereka dengan bertanggungjawab dan mengutamakan kedaulatan negara,” katanya selepas Program Imigresen dan Anda, Biar Tahu Jangan Keliru di Masjid Jamek Al-Hidayah Jalan Baru, semalam.

Menurutnya, cadangan uuntuk memberi penghargaan kepada pegawai dan anggota ini sudah dikemukakan supaya ia dapat memberi semangat kepada mereka dan kakitangan lain menjalankan tugas.

Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan seorang warga China diberkas polis pada 16 Mei selepas cuba memohon pasport Malaysia menggunakan Mykad yang sah.

Namun, usaha wanita itu gagal selepas lagaknya mencurigakan selain gagal berkomunikasi dalam Bahasa Melayu ketika diajukan soalan.

Wanita berkenaan kemudian ditahan dan susulan itu, polis berjaya membongkar kegiatan menjual Mykad sah selepas menahan 20 lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 10:00 AM