Marsha tidak mahu dikenali hanya kerana cerita kontroversi.
Marsha tidak mahu dikenali hanya kerana cerita kontroversi.
Rudy Imran Shamsudin


SELEPAS 14 tahun bergelumang dalam industri hiburan tempatan, kerjaya seni selebriti serba boleh Marsha Milan Londoh dilihat perlahan dan mendatar.

Sedangkan andai dinilai daripada bakat, Marsha boleh disifatkan sebagai anak seni yang hebat kerana mampu melakukan semua cabang seni.

Selain menyanyi, bintang yang bakatnya mula dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga itu juga mampu berlakon, berlawak dan juga menjadi pengacara dalam dwibahasa dengan baik.

Peminat dan pemerhati industri hiburan tanah air sendiri mengakui akan kemampuan dan kelebihan dimiliki Marsha, tetapi hanya setakat itu.

Melihat dari sudut bakat dan kemampuan tinggi dimiliki, nama penyanyi dan pelakon yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat ini sepatutnya sudah boleh dipahatkan dalam senarai anak seni terbaik pernah dilahirkan industri hiburan tempatan.

Sebagai contoh mudah, minggu lalu Marsha berjaya membantu peserta program realiti Big Stage, Adzrin berada di kedudukan pertama sewaktu mereka berduet mendendangkan lagu Jealous.

Penonton memuji kelebihan dan kekuatan vokal dimiliki Marsha. Begitu juga dengan lakonan dalam filem dan drama.

Sepanjang membabitkan diri dalam dunia lakonan Marsaha sudah membintangi 11 filem, 14 telefilem dan lebih 20 drama bersiri.

Melihat daripada latar kerjayanya saja, umum boleh lihat betapa penyanyi yang popular menerusi lagu Untuk Terakhir Kali itu sangat serius dengan kerjaya seninya.

Namun, segala kelebihan dimiliki selalunya tidak melekat atau terpahat dalam hati peminat. Kesungguhan diberikan akan berlalu pergi seperti daun kering yang jatuh dari pohon selepas ditiup angin.

Berbicara mengenai perkara ini, Marsha yang ditemui baru-baru ini menyedari akan perkara itu, malah dia juga kecewa kerana apa yang lebih diberi tumpuan sepanjang tempoh itu adalah cerita kontroversi.

“Sebenarnya dalam tempoh 14 tahun itu, saya mencuba pelbagai cara untuk membuatkan peminat dan pemerhati industri hiburan tempatan memberikan tumpuan kepada bakat.

“Memang benar ada antara lagu saya yang diminati dan drama lakonan saya diperkatakan, tetapi ia hanya sementara. Selepas beberapa ketika orang akan lupa,” katanya.

Menyedari akan situasi yang berlaku ini sering berulang kata Marsha, dia dan pihak pengurusannya selalu memikirkan cara supaya kerjaya seninya lebih dipandang berbanding kontroversi yang boleh memberikan implikasi buruk.

“Disebabkan itu saya berusaha pelbagai cara dan cuba mengembangkan lagi ruang lingkup kerjaya seni. Ini termasuklah dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia Megastar 2017.

“Saya akui program itu ada memberikan impak, tetapi tidak begitu besar. Namun, sekurang-kurangnya ia memberi dan membuka ruang kepada umum untuk saya mengingatkan kembali apa yang mampu saya berikan kepada mereka dan juga industri seni tempatan,” katanya.

Letih apabila orang hanya tahu kisah kontroversi

Marsha seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali hanya kerana cerita kontroversi.

Marsha berkata, dia tahu permainan segelintir warga industri hiburan yang sanggup menjual kontroversi semata-mata mahu mengingatkan umum akan kemunculan mereka.

“Pada saya perkara seperti itu tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada kerjaya seni. Percayalah, saya sudah melalui dan merasainya kerana itu saya berani menyatakan perkara ini,” katanya.

Menurut Marsha lagi yang kini isteri kepada ahli perniagaan, dia boleh saja menggunakan rumah tangganya sebagai bahan untuk mencipta kontroversi tetapi untuk apa? Untuk mencari perhatian?

“Saya tidak akan memperjudikan hal peribadi hanya semata-mata mahu orang ingat saya ini seorang penyanyi dan pelakon. Kerana apa yang dilakukan itu tiada punya kaitan langsung dengan kerjaya seni saya. Sekarang saya hanya mahu orang bercakap mengenai bakat saya,” katanya.

Ditanya adakah situasi yang dialami membuatkan dia putus asa, kata Marsha, perkara itu tidak mungkin berlaku apatah lagi sebaik mendirikan rumah tangga pada 2015, suami tidak pernah menghalang atau mahu dia berhenti menyanyi dan berlakon.

“Situasi yang saya alami tidaklah teruk sehingga langsung ada tawaran menyanyi dan berlakon. Kalau itu yang berlaku mungkin saya berhenti dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

“Putus asa tidak, tetapi letih apabila setiap kali memikirkan apa yang saya lakukan tidak diberi perhatian sebaliknya perkara peribadi dan kontroversi lebih diperkatakan orang. Untuk tinggalkan dunia seni tidak kerana ini adalah perkara yang saya suka buat.

“Kadang-kadang apabila dapat menghiburkan orang dalam persembahan dan menyaksikan drama yang saya bintangi membuatkan segala perasaan lelah itu hilang.

“Karya yang saya hasilkan itu akan mengingatkan kembali atas segala usaha yang saya lakukan dan mengembalikan semangat untuk saya terus berjuang dalam bidang yang amat saya sayangi ini,” katanya.

Dalam pada itu, kemunculannya dalam lagu dialek Sabah, Kadazan Dusun bergandingan dengan Velvet Aduk menerusi lagu Sumandak Sabah dan Oi Gaman berjaya mencuri perhatian peminat.

Masyarakat tempat asal usul keluarganya di Sabah menerima baik akan usaha dilakukan. Ekoran daripada itu Marsha juga sering berulang-alik ke sana bagi memenuhi jemputan mengadakan persembahan.

“Bagi membalas jasa atas sokongan tidak berbelah bagi diberikan orang-orang di tanah kelahiran keluarga saya itu membuatkan saya bercadang melakukan Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) di sana setiap tahun bagi mengangkat kesenian dan budaya negeri Sabah.

“Saya sudah lakukannya sejak dua tahun lalu dan saya akan melaksanakan perkara itu setiap Mei sempena Hari Keamaatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 11:51 AM