EHSAN menyampaikan khutbah Jumaat kepada komuniti Islam di Pusat Pembelajaran Islam di Daanbantayan. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


USIANYA baru mencecah 19 tahun namun kebolehan pemuda ini menyampaikan khutbah Jumaat dengan lancar selain mampu berdakwah begitu mengagumkan.

Ehsan Venancio yang berasal dari Mindanao itu sudah menjadi dai’e dan imam di Pusat Pembelajaran Islam di Daanbantayan, Filipina yang terletak di utara Cebu sejak setahun lalu dikelolakan Briged Bakti Malaysia (BBM).

Menurutnya, khutbah adalah satu daripada platform yang sesuai untuk menyebarkan Islam khususnya kepada komuniti Muslim yang rata-rata baru mengenali agama ini.

“Setiap kali solat Jumaat, saya akan ditugaskan untuk menyampaikan khutbah kepada jemaah di pusat pembelajaran ini yang turut dijadikan surau kepada komuniti Islam di kawasan berkenaan bagi menunaikan ibadah.


EHSAN Venancio. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

“Saya akan melakukan rujukan berdasarkan buku dakwah dan al-Quran untuk memastikan hadis yang digunakan tepat. Malah khutbah disampaikan juga perlu sesuai dengan golongan sasar terdiri daripada saudara baru,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, usaha mengembangkan Islam berdepan pelbagai cabaran khususnya untuk memulihkan persepsi salah masyarakat setempat yang mengaitkan Islam dengan keganasan, peperangan dan terorisme.

Katanya, golongan ini perlu disantuni lebih kerap untuk memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat seterusnya menarik minat untuk menganut Islam.

“Saya turut berperanan sebagai dai’e yang ditugaskan untuk ke kawasan kampung berhampiran untuk bertemu dengan masyarakat Muslim bagi menyampaikan ilmu akidah khususnya mereka yang baru melafazkan syahadah.

“Golongan ini perlu terus didekati kerana tidak mahu mereka terkapai-kapai untuk mendapatkan ilmu Islam yang betul kerana ada di antara mereka yang sukar ke pusat pembelajaran setiap minggu untuk mengikuti kelas agama,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran namun ia tidak menghalang beliau bersama beberapa rakan dai’e lain untuk terus menyebarkan Islam dan berharap persepsi negatif terhadap Islam dapat dikikis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:39 PM