Farah Suhaidah Othman


IPOH: Pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh dan tonggak tengah kacukan, Brendan Gan meminta rakyat negara ini supaya terus mengekalkan keharmonian sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Bagi mereka, rakyat negara ini beruntung kerana sentiasa berada dalam keadaan aman sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, diikuti penubuhan Malaysia enam tahun kemudian.

Biarpun masih ‘hijau’ di negara ini, perasaan sayangkan Malaysia terserlah buat penyerang kelahiran Gambia dan pemain berdarah kacukan Australia itu apabila bersemangat menyanyikan lagu Negaraku sebelum perlawanan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.


SUMAREH

Sumareh yang juga bintang Pahang berharap rakyat di negara ini terus berada dalam suasana harmoni dan mengekalkan semangat perpaduan yang ditunjukkan selama ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia tidak kira di mana anda berada, ayuh bersama-sama menyambut Hari Malaysia untuk kita semua,” katanya yang ditemui selepas perlawanan Piala Malaysia di antara Perak dan Pahang di Stadium Perak, di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Brendan pula mengharapkan rakyat bersatu hati bagi membuktikan negara harmoni untuk menyambut Hari Malaysia.

“Hari Malaysia adalah hari yang penting bagi kita menunjukkan perpaduan,” katanya.

Sumbangan Sumareh amat bermakna apabila meledak dua gol ketika Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 di Gelora Bung Karno, Jakarta, manakala Brendan mempamer aksi kental sebagai tonggak tengah bertahan dalam kedua-dua perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:30 AM