PENYOKONG berdepan kejadian tidak diingini berada di dalam stadium tanpa CCC.
Syazwan Msar dan Mahaizura Ab Malik


KUALA LUMPUR: Luaran nampak sempurna, namun belum tentu 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara selamat berikutan dikenal pasti tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF), sekali gus berisiko berlakunya kejadian tidak diingini.

Ini bermakna puluhan ribu penonton berkemungkinan kehilangan nyawa atau mengalami kecederaan serius sekiranya berlaku perkara tidak diingini kerana tahap keselamatannya diragui tanpa pengiktirafan daripada pihak berkaitan.

Ironinya, kebanyakan stadium yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 20,000 penonton dalam satu masa diibaratkan sebagai bom jangka jika pihak berkaitan tidak mengambil langkah proaktif dengan melakukan tindakan susulan termasuk membaik pulih atau menaik taraf venue berkenaan supaya mematuhi standard CCC yang ditetapkan.

Antara stadium yang tiada CCC adalah Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor; Stadium Tunku Abdul Rahman, Negeri Sembilan; Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak dan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan.

Selain itu, turut dikenal pasti tiada sijil berkenaan Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis; Stadium Bandaraya, Pulau Pinang; Stadium Likas, Sabah; Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Venue yang menjadi gelanggang rasmi skuad Helang Merah iaitu Stadium Darul Aman, Alor Setar, turut tersenarai antara yang tiada sijil CCC selain Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.

Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din berkata, ketiadaan sijil terbabit di stadium berkenaan kemungkinan disebabkan binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, sekali gus tiada ciri keselamatan dipatuhi berkaitan CCC.

“Dari sudut keselamatan, premis seperti mana stadium disyaratkan supaya keselamatan ia ada, termasuklah menentukan premis berkenaan sentiasa boleh diguna pakai merangkumi keselamatan pengunjung dan pengurusan bangunan tu sendiri.

“Setakat ini, memang tiada permohonan dibuat daripada pihak bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit untuk JBPM melakukan pemeriksaan seterusnya mengeluarkan borang G9 iaitu mengesahkan sudah mengikut segala perkara yang ditetapkan kami.

“JBPM tidak mengeluarkan CCC kepada bangunan terbabit, namun sokongan atau pemeriksaan daripada kami penting untuk menyokong pengeluaran sijil itu kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Zamri berkata, pemilikan CCC penting bagi memastikan bangunan terbabit mempunyai ciri keselamatan optimum membabitkan pendawaian, laluan keselamatan dan pencegahan awal kebakaran.

“Penting bagi memastikan bangunan yang biasa dihadiri orang ramai diiktiraf selamat dan mempunyai langkah keselamatan optimum.

“Mengikut prosedur, JBPM akan memproses permohonan yang diterima menerusi pelan lengkap disediakan dan akan mengambil masa kira-kira 14 hari sebelum diluluskan.

“JBPM turut melihat dari sudut aktif dan pasif iaitu membabitkan komponen atau pemasangan keselamatan kebakaran yang aktif. Pasif pula adalah melihat kepada ciri-ciri laluan keselamatan seperti pintu, kaki lima iaitu merujuk kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan ada Pindaan 2012,” katanya.

Mengikut rekod, setakat ini hanya lapan stadium utama mempunyai CCC iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor; Stadium Hang Jebat, Melaka; Stadium Tun Abdul Razak, Jengka; Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:17 AM