Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Demi mengaut keuntungan mudah, seramai 122 warga tempatan sanggup mengkhianati negara apabila menjadi dalang atau menganggotai sindiket penyeludupan migran.

Mereka sanggup memperjudikan keselamatan negara dengan bersekongkol bersama warga asing bagi mengeksploitasi semua laluan masuk ke Malaysia.

Kumpulan yang mengejar habuan wang itu tidak mempedulikan kesan perbuatan mereka yang mewujudkan koloni pendatang dan ada antara migran terbabit dalam jenayah terancang termasuk sindiket pelacuran.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sehingga 31 Julai lalu, pihaknya menahan 122 warga tempatan yang menjadi dalang atau terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran.


SEHINGGA 31 Julai lalu sebanyak 2,000 migran diseludup masuk.

“Mereka ditahan bersama warga asing daripada pelbagai negara seperti Indonesia dan Myanmar. Rekod kita menunjukkan, 250 ahli sindiket ditahan (termasuk 122 warga tempatan) bagi tempoh sama. Kita juga menahan hampir 2,000 migran yang diseludup.

“Migran yang paling ramai ditahan adalah warga Indonesia diikuti Bangladesh, Myanmar dan Filipina,” katanya kepada Harian Metro.

Fadil berkata, kemasukan migran dalam jumlah besar mewujudkan kelompok atau koloni mereka sendiri.

“Bukan semua diseludup, ada yang datang atas tiket sah (bekerja) namun apabila jumlah mereka besar dan ditambah pula dengan migran yang diseludup ia mewujudkan kelompok tersendiri. Komuniti ini bukan saja perlukan keperluan harian namun juga memerlukan seks.


JALAN laut menggunakan bot pancung jadi pilihan sindiket.

“Atas kesempatan ini, ada pihak (migran) yang dikesan kendalikan premis pelacuran sendiri bertujuan menjana pendapatan,” katanya.

Fadil berkata, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di bawah Kementerian Dalam Negeri sentiasa diperkemaskan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

“Kedudukan strategik Malaysia yang bersempadan dengan banyak negara jiran ditambah dengan keluasan perairan negara membuka peluang buat sindiket melakukannya. Ada sempadan negara hanya dibezakan dengan sebatang sungai. Ini memang cabaran dan tugas agensi penguatkuasaan untuk banterasnya.

“Kawalan di sempadan darat iaitu di semua pintu masuk perlu diperketatkan. Begitu juga di perairan negara,” katanya.


KUMPULAN migran akan dimuatkan ke dalam kenderaan untuk perjalanan darat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:10 AM