Siti Nur Hanini (kanan) bersyukur ditemukan dengan Ah Tat yang memberi tambang percuma selain membelikannya makanan.
Redzuan Muharam


“SAYA bersyukur kerana dipertemukan dengan uncle (pak cik) itu ketika dalam kesusahan dan berharap dapat membalas jasanya satu hari nanti,” luah Siti Nur Hanini Kamarudinn, 19.

Siti Nur Hanini adalah penuntut semester pertama Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang menarik perhatian warganet selepas berkongsi pengalamannya dibantu pemandu MyCar berbangsa Cina bernama Yew Ah Tat.

Gadis berasal dari Pengkalan Hulu, Perak itu berkongsi pengalaman itu dengan memuat naik ciapan di Twitter miliknya yang sehingga kini mendapat lebih 8,500 tanda suka dan 11,700 ulang ciap oleh warganet.

Menceritakan perkara sebenar, Siti Nur Hanini berkata, kejadian berlaku ketika dia keluar bersendirian ke sebuah pasar raya di Shah Alam Sabtu lalu.

“Saya ke pasar raya pada hari berkenaan untuk membeli kipas meja dan selepas berbelanja, hanya RM50 saja yang ada di dalam tangan.

“Disebabkan itu juga, saya batalkan niat membeli barangan keperluan lain tetapi nasib tidak menyebelahi saya apabila wang itu tercicir dan hanya menyedarinya ketika mahu membuat pesanan pemandu menerusi aplikasi MyCar.

“Rasa seperti mahu gugur jantung saya ketika itu dan disebabkan terdesak, saya cuba dapatkan bantuan daripada salah seorang rakan lelaki dan dia ada mengirimkan wang tetapi tidak dapat dikeluarkan kerana baki di dalam akaun saya kurang.

“Situasi itu membuatkan saya menangis tetapi kembali lega selepas rakan lelaki saya itu sanggup membantu membayarkan tambang sebaik pemandu tiba di asrama,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia cuba menyembunyikan kesedihannya tetapi disedari pemandu itu yang bukan hanya memberi tambang percuma tetapi turut membelikannya makanan.

“Sebaik masuk ke dalam kereta, saya cuba berbual dengan pemandu itu dan tiba-tiba, dia bertanya mengenai keadaan saya mungkin kerana tahu saya sedang bersedih.

“Pertanyaannya membuatkan saya rasa sebak tetapi tetap menceritakan apa yang berlaku.

“Tak sangka pula, dia begitu prihatin sehingga sanggup berhenti di sebuah kedai dan membungkuskan saya makanan.

“Saya jadi serba salah tetapi pemandu itu mengatakan dia ikhlas untuk membantu saya kerana faham dengan kesusahan dialami penuntut universiti,” katanya.

Siti Nur Hanini berkata, apa yang berlaku membuatkannya sedar bahawa masih ramai lagi insan baik hati dan sanggup membantu individu lain tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Malam hari sama, saya kongsikan pengalaman dengan memuat naik ciapan di Twitter dan tidak sangka ia tular kerana hanya mempunyai 97 pengikut saja di platform berkenaan.

“Keesokan hari, saya terima banyak notifikasi dan rata-ratanya positif tetapi ada juga tidak percaya cerita yang saya kongsikan.

“Niat saya hanya berkongsi cerita itu sekadar untuk berkongsi kebaikan dilakukan ‘uncle’ berkenaan dengan harapan sikapnya menjadi contoh buat kita semua,” katanya.

Sementara itu, MyCar menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya enam jam lalu memberi penghargaan kepada Yew Ah Tat atas keprihatinannya dan menawarkan bantuan wang tunai kepada Siti Nur Hanini dalam usaha membantu gadis itu.

“Sikap prihatin pemandu MyCar berbangsa Cina, Yew Ah Tat yang berbesar hati membantu penuntut ini membuktikan perpaduan di antara kaum masih utuh di Malaysia.

“Sebagai tanda penghargaan, MyCar akan memberi ganjaran RM500 tunai pada Yew Ah Tat serta tiada penolakan komisen pemanduan selama tiga bulan.

“Malah MyCar juga turut memahami bebanan penuntut itu dan akan menawarkan bantuan wang tunai RM500 kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:07 PM