MALAYSIAN Tigers miliki banyak kelebihan sekiranya dibarisi pemain berbagai kaum.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Satu ketika dulu, skuad hoki negara cukup dikenali dengan penampilan pemain berbilang kaum sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai duta kepada gambaran sebenar keharmonian kehidupan di Malaysia.

Nama-nama seperti Sarjit Singh, Maninderjit Singh, S Kuhan, mendiang Chua Boon Huat, Lam Mun Fatt dan S Selvaraju adalah sekadar beberapa nama yang pernah menabur bakti bersama Malaysian Tigers dan cukup dikenali.

Namun, selang beberapa tahun, keadaan tidak lagi sama, sekali gus menimbulkan persoalan adakah kaum lain selain Melayu sudah tidak lagi berminat untuk bermain hoki satu-satunya sukan berpasukan di Malaysia yang mampu bersaing di pentas dunia.

Perkataan paling mudah ialah wajah satu Malaysia di dalam skuad kebangsaan sudah pupus dengan majoritinya kini dibarisi pemain Melayu.

Ketika ini, hanya penjaga gol, S Kumar, Adrian Andy Albert dan Joel Van Huizen meneruskan legasi bukan Melayu di dalam skuad kebangsaan.

Berkongsi pandangan itu, bekas kapten skuad kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengaku terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kepupusan pemain kaum lain di dalam skuad kebangsaan.

“Saya lihat ketika ini pemain dari sekolah sukan rata-ratanya adalah pelajar Melayu dan kekurangan kaum lain. Jadi bila ada proses pemilihan sudah pasti majoritinya di dominasi pelajar Melayu.

“Keduanya saya berpendapat minat terhadap sukan hoki sudah berkurangan. Bukan soal rasis tetapi saya rasa peluang sama rata sudah diberikan kepada semua kaum, tetapi rata-rata ibu bapa kepada kaum lain lebih menitik beratkan soal pelajaran kepada anak masing-masing.

“Kebanyakan pelajar ketika ini lebih gemar bermain sukan yang mudah seperti e-sukan berbanding hoki yang menuntut fokus tinggi ketika berlatih atau menyertai kejohanan,” katanya.

Saiful yang turut terbabit dengan program pembangunan hoki di bawah pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, memang sukar untuk mencari pemain selain kaum Melayu ketika ini.

“Ada juga saya jumpa satu, dua pemain dari kaum lain sepanjang program itu, tetapi mereka tak menepati tahap terbaik,” katanya.

Jelas Saiful, mempunyai pemain berbilang kaum di dalam sebuah pasukan akan memberi kelebihan kepada pasukan itu sendiri.

“Sebab tahap pemikiran serta fizikal setiap kaum itu berbeza. Jadi, apabila bergabung maka Malaysia akan mempunyai sebuah pasukan cukup berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:31 AM