TIGA pasport asing, wang tunai serta lebih 100 pelekat bertulis Jabatan Imigresen Malaysia antara barangan dirampas di KLIA, semalam. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin


PEGAWAI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan bersama seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini.

Sumber berkata, penahanan itu dibuat ketika anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA melakukan rondaan sebelum terserempak kereta Hyundai Sonata.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun itu menemui kotak disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

“Dalam kotak itu mengandungi sejumlah wang tunai, pasport dari China dan Indonesia serta kad pengenalan berwarna merah,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pada beg galas milik wanita itu menemui sejumlah wang tunai selain beberapa telefon pintar.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, muncul seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai imigresen berusia 40 tahun dan mengaku kereta itu miliknya.

“Suspek wanita yang disoal siasat mendakwa pasport ditemui itu adalah milik rakannya yang didakwa berada di luar negara dan akan memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung tangkapan itu.

“Tangkapan itu dibuat 1.30 tengah hari selepas anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) KLIA mendapati kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 4:51 PM