Muhd Amirul Faiz Ahmad


BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman, Sarawak semakin buruk dengan bacaan sudah melepas mencapai 400.

Cuaca panas dan kering, didorong tiupan angin daripada kawasan Kalimantan Barat, Indonesia, yang merekodkan 452 tompok panas, kekal memberi ancaman kepada penduduk di kawasan berkenaan yang kini terpaksa menghidu bau asap yang kuat.

Statistik IPU di Sri Aman, pada 5 petang tadi, merekodkan berbahaya bacaan 407, dengan IPU menunjukkan peningkatan bermula 8 pagi tadi, manakala kawasan Samarahan dan Kuching, masing-masing mencatatkan bacaan sangat tidak sihat, 231 dan 212.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebanyak lapan kes kebakaran belukar direkodkan hari ini terutama di Kuching, Sri Aman, Sarikei dan Limbang.

“Secara puratanya, JPBM Sarawak bertindak terhadap 18 kes kebakaran api belukar setiap hari bermula 1 September lalu. Terbaru, kebakaran belukar berlaku di Jalan Tisak, Betong, membabitkan 13.3 hektar.

“Mengikut sumber Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, jumlah tompok panas di Sarawak membabitkan 17 kawasan dengan Bau, Kapit, Lundu dan Saratok, masing-masing satu tompok panas, Belaga dengan dua tompok, Lubok Antu dengan tiga tompok dan Sri Aman dengan enam tompok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya, berkata operasi pembenihan awan (OPA) dirancang dilaksana di Sri Aman, pada 20 hingga 22 September ini.

“Kawasan Kuching, Samarahan dan Sri Aman sudah mencatatkan bacaan paras sangat tidak sihat dan berbahaya.

“Justeru, berdasarkan penganalisaan model cuaca, tempoh bermula 17 September hingga 24 September ini adalah sesuai untuk melaksanakan OPA,” katanya.

Berita berkaitan

Sri Aman catat IPU berbahaya [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:02 PM
KEADAAN jerebu di Sri Aman. FOTO Ihsan Roszilawati Nor Aziz