Zuhainy Zulkiffli


“CEK orang utara, minum ayaq nyok...selalu baloq liat dan suka makan nasik kandaq,” itu kata-kata pemuda dari Itali menerusi video berdurasi satu minit yang tular di media sosial sejak minggu lalu.

Malah, kepetahan pemuda itu menarik perhatian ribuan warganet kerana dia fasih bertutur dalam loghat utara.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Daniele Speziale, 21, berkata dia mempelajari loghat utara sejak 2015 ketika tinggal selama setahun dengan keluarga angkat di Kulim, Kedah.

Dia yang menuntut di Universiti Leiden Belanda ketika itu menyertai Program Pertukaran Pelajar dan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, Kubang Semang, Bukit Mertajam bagi mempelajari Bahasa Malaysia sepanjang program pertukaran berkenaan.

Dia tertarik mendengar perbualan loghat utara oleh keluarga angkat serta masyarakat di situ dan setiap perkataan dipelajari akan dicatat dalam buku.

“Buku itu ibarat kamus dan dibawa ke mana sahaja dan enam bulan kemudian saya sudah boleh bercakap dalam loghat utara.

“Pada mulanya saya keliru menggunakan perkataan ‘kamu’ dan ‘mereka’ berikutan gemar menggunakan perkataan ‘hang’ dan ‘hampa’ kerana terasa lebih mesra,” katanya yang berasal dari Savona, Itali.

Daniele berkata, bukan hanya Bahasa Malaysia dan Itali, dia mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin, Perancis, Sepanyol, Jerman, Belanda, Hindi, Arab dan Parsi.

Katanya, Bahasa Malaysia mudah diingat namun loghat utara yang berirama menambahkan keunikannya.

“Saya sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di sini kerana bukan sahaja bahasa pertuturan, malah menggemari makanan tempatan seperti laksa, cendol dan kue tiau goreng.

“Saya menemani rakan sekelas pulang ke kampungnya di Kelantan pada minggu lalu dan tidak sangka masyarakat di sana menegur serta mengenali saya selepas video berkenaan tular,” katanya.

Daniele adalah penuntut Program Pertukaran Pelajar di bawah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM dan menjalani pengajian selama dua bulan berakhir November depan.

Turut sama dalam video berkenaan ialah penuntut Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Abdulloeva Sabrina Habibulloevna, 20, dari Tajikistan, yang sudah tinggal di Nibong Tebal, sejak berusia lapan tahun.

Katanya, dia berpindah ke Malaysia selepas ibunya yang bekerja sebagai guru di Pulau Pinang berkahwin dengan warga tempatan yang juga guru.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman itu berkata, ketika berpindah di Nibong Tebal, dia tidak dapat meneruskan persekolahan selama dua bulan berikutan masalah bahasa.

“Saya ambil peluang tidak ke sekolah itu dengan belajar Bahasa Malaysia dengan sepupu yang tinggal berhampiran, namun saya lebih cenderung berbual dalam loghat utara.

“Apabila kita berbual dalam loghat utara, terasa seperti sudah lama kenal dan dekat di hati malah saya peroleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Penuntut dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Abdulkader Ahmad Bawadikji, 32, turut berkongsi pengalamannya belajar loghat utara sejak melanjutkan pelajaran di USM enam tahun lalu.

Katanya, ketika melakukan rutin pengajian di Hospital Pulau Pinang (HPP), dia mengakui agak sukar berbual dengan pesakit warga tempatan terutama bagi menanyakan khabar dan tahap kesihatan mereka setiap hari.

“Saya tertarik dengan loghat utara oleh Matron bernama Azizah yang menyelia saya dan sejak itu kami berbual dalam loghat utara serta belajar dengannya.

“Saya sudah mengikuti pengajian sarjana muda, ijazah sarjana dan kini Doktor Falsafah (PhD), saya harap dapat berkhidmat di negara ini serta menyumbang sesuatu di negara kelahiran saya iaitu Syria,” kata anak kelapan daripada sembilan beradik itu.

Video berkenaan tular selepas dimuatnaik oleh Timbalan Pengarah IMCC USM, Dr Mohd Hafizal Mohd Isa, yang menyedari semua penuntut terbabit boleh bertutur dengan loghat utara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:18 PM
(DARI kiri) Abdulloeva Sabrina, Daniele, Li Shuting serta Abdulkader yang fasih berbahasa Melayu terutama dialek utara ketika ditemui di USM, hari ini. FOTO Danial Saad.