Oleh Georgie Joseph


Berkecimpung dalam dunia hiburan seawal usia 11 tahun, kembara seni Naim Daniel kini sudah mencecah

sedekad. Bakatnya terus diterima baik dalam arena lakonan, nyanyian dan pengacaraan.

Naim, 22, berjaya membuktikan kemampuannya sebagai anak seni. Setiap langkah diatur dengan teliti demi memastikan kehadirannya sentiasa relevan.

Meskipun penyanyi Sumpah itu punya banyak pengalaman, tidak bererti dia layak mendabik dada. Hakikatnya dia mengakui pendedahan awal itu membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk bekerja keras.

“Selama beberapa tahun saya memutuskan untuk menguji diri dengan banyak percubaan dan kesilapan. Semua itu demi memastikan saya kekal relevan dan

ia menuntut dedikasi amat tinggi.

“Kejayaan saya kecapi hari ini nampak luaran sahaja, hakikatnya perjalanan masih jauh. Saya bersyukur dengan apa yang saya dapat sekarang dan mahu terus ikhlas bekerja,” katanya.

Mahu berada lama dalam lapangan seni, Naim sentiasa mengingatkan diri supaya tangkas dalam apa sahaja diusahakan. Tiada istilah bersenang-lenang atau berlengah kerana sikap itu hanya akan melambatkan langkahnya untuk maju ke depan.

“Saya kena mempersiapkan diri dan sentiasa mencari formula baru untuk keluar dari zon selesa. Setiap peluang yang datang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya juga ada semangat juang tinggi dan harus mengekalkannya sampai

bila-bila,” katanya.

Pada usia semuda ini, Naim mengakui ada ketika emosinya rapuh. Namun kehadiran keluarga, teman rapat dan pengurusan menjadi sistem sokongannya selama ini sedikit sebanyak membantunya bangkit kembali.

“Saya beruntung dikurniakan sistem sokongan hebat. Mereka tidak putus memberikan kata-kata semangat terutama apabila nampak saya kepenatan.

“Pengalaman bekerja sejak kecil banyak membantu saya jadi insan kental. Penat macam mana sekali pun, saya tidak akan mengalah dan akan terus berjuang,” katanya.

LAGU BARU BERSAMA K-CLIQUE

Menyentuh perkembangan terbaru karier nyanyian, Naim teruja bakal tampil dengan single Adakah Engkau Menungguku bulan ini.

Dia yang mencipta fenomena menerusi lagu balada Sumpah sebelum ini berazam membuka ruang kepada dirinya meneroka eksperimen baru. Baginya, dia perlu pelbagaikan corak lagu yang ingin disajikan kepada pendengar.

“Saya melihat muzik rap kian menarik dan mahu mencuba. Lagipun, saya rasa boleh bawa muzik ini.

“Ia jadi kenyataan dengan bantuan Tuju daripada K-Clique. Kami sudah pun menyiapkan lagu Adakah Engkau Menungguku

sebelum Aidilfitri lalu,” katanya.

Meskipun ramai memuji Naim bagus membawakan lagu balada, dia tidak risau beralih ke irama rancak. Tegas Nam, ia bukan asing kerana sebelum ini pernah tampil dengan lagu rancak.

“Pasti ada peminat masih ingat saya pernah menghasilkan lagu rancak sebelum Sumpah. Jadi, tidak janggal pun apabila tiba-tiba beralih kepada lagu rancak semula.

“Ini sebahagian strategi mengembangkan muzik saya yang mana kami menggabungkan hip hop dan pop. Saya mahu sebuah karya yang boleh dinyanyikan bersama penonton apabila dipersembahkan kelak,” katanya.

IDAM PENTAS AJL TEMBUS INDONESIA

Berkongsi mengenai misi akan datang, Naim mengakui teringin beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Baginya itu antara impian besar ketika ini.

“Dengan penerimaan terhadap lagu Sumpah yang cukup luar biasa, saya mengintai peluang andai dapat beraksi di pentas AJL. Siapa tidak mahu peluang itu dan saya pasti ia impian setiap penyanyi.

“Bagaimanapun, saya serahkan kepada rezeki. Kalau ada peluang beraksi baik dalam masa terdekat atau masa hadapan, saya pasti tidak akan lepaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Naim juga berazam melebarkan kariernya ke Indonesia. Meskipun belum ada perancangan nyata, dia ada misi tersendiri untuk mengejar cita-cita itu.

“Menembusi pasaran muzik luar sememangnya menjadi impian ramai penyanyi tempatan. Saya tidak terkecuali dan mahu buktikan Malaysia juga ada bakat hebat.

“Saya mengintai peluang untuk ke Indonesia sekitar tahun depan. Sebenarnya agak mengejutkan juga apabila sudah ada peminat di sana mengikuti perkembangan saya dan bertanya bila mahu ke sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:50 AM