KEBAKARAN hutan membabitkan keluasan 13 ekar memburukkan lagi kualiti udara di sekitar Sri Aman, semalam.
Suraya Roslan


PENANAMAN semula kelapa sawit dan pohon kayu untuk industri pembuatan kertas di Riau dan Kalimantan dipercayai antara punca jerebu yang melanda tiga negara.

Tanah gambut yang dibakar semula menyebabkan kebakaran dengan keluasan 238,000 hektar dari 31 Ogos sehingga hari ini menyebabkan kualiti udara di Malaysia merosot terutama di Sri Aman, Sarawak.

Ketua Pengarah Penegakan Undang-Undang Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Rasio Ridho Sani berkata, faktor manusia adalah penyebab utama berlakunya kebakaran hutan manakala hanya satu peratus akibat bencana.

“Memang datang (kebakaran) daripada peladang tradisional turun temurun melakukan pembakaran hutan.

“Kita tidak menolak kemungkinan pembabitan syarikat korporat yang melakukan pembakaran ini dan seharusnya undang-undang negara diperketatkan,” katanya dipetik WartaPenaNews.

Menurutnya, faktor manusia penyumbang terbesar terjadinya pembakaran terbuka di tanah gambut di beberapa daerah di Indonesia.

“Kawasan terjejas sedang dipulihkan walaupun memakan masa bertahun,” katanya.


SRI Aman mencatatkan bacaan IPU berbahaya sebanyak 365, semalam.

Sementara itu, laman web rasmi Global Forest Watch melaporkan sebanyak 23,545 amaran kebakaran berlaku di Indonesia sepanjang 9 September hingga kelmarin.

Data terbabit diperoleh daripada Maklumat Kebakaran Untuk Sistem Pengurusan Sumber (FIRMS) Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) menerusi pengesanan satelit MODIS dan VIIRS.

Malah, laman web itu turut menyenaraikan beberapa syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran di tanah jajahan masing-masing bagi konsesi kelapa sawit.

Antara syarikat berkenaan ialah PT Austindo Nusantara Jaya (ANJA) dengan 303 kebakaran, Wilmar (97 kebakaran), Sinar Mas (96), Barito Pacific (44), Ganda Group (31), Duta Palma Group (23), Cargill (23), Bakrie Group (16), Sungai Budi Group (13), Surya Dumai Group (10), Kaestindo Group (10) dan Wanamaja Adhitama (9).

Turut tersenarai Sime Darby dengan lapan kebakaran, Sambu Group (8), Berca Group (7), PT Benua Indah (6), Genting Group (5), Lyman Group (5) dan beberapa syarikat lain manakala 20,374 kebakaran lain berlaku luar dari konsesi kelapa sawit.

Sehingga 2010, 73 peratus iaitu 137 juta hektar (Mha) kawasan di Indonesia diliputi hutan manakala 20.4 juta Mha merangkumi penanaman.

Tahan 200 individu disyaki bakar hutan

Jakarta: Indonesia menahan hampir 200 orang susulan kebakaran hutan meluas di seluruh negara kepulauan itu, menyebabkan keadaan berjerebu hingga menjejaskan keadaan kualiti udara dan pembatalan penerbangan, kata polis, semalam.

Pihak berkuasa berkata, kira-kira 185 orang suspek yang disyaki terbabit dengan aktiviti yang menyebabkan kebakaran berlaku hingga sukar dikawal.

“Polis Indonesia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terbukti melakukan pembakaran hutan dan tanah,

sama ada ia dilakukan dengan atau tanpa niat,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo kepada wartawan di sini.

Katanya, ia adalah usaha terakhir dan apa yang penting adalah pencegahan dan setakat ini empat syarikat juga turut disiasat.

Jakarta sudah mengerah ribuan petugas untuk mengawal kebakaran yang menyebabkan keadaan landskap tanah hangus dan kebanyakan hutan musnah di kepulauan Sumatera dan Borneo, hingga memaksa ribuan sekolah ditutup atas alasan kesihatan.

Kebakaran pada kebiasaannya bermula dengan pembakaran haram untuk membersihkan kawasan tanah pertanian, hingga menyebabkan keadaan di beberapa negara jiran berjerebu mencetuskan ketegangan politik dengan Indonesia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:45 AM