MURID sekolah mengenakan penutup hidung dan mulut berikutan jerebu melanda di seluruh negara. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Wartawan Harian Metro


SEBANYAK 1,603 sekolah di lapan negeri diarahkan tutup hari ini berikutan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan masing-masing.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), penutupan sekolah itu membabitkan 1,060,184 pelajar.

Ini termasuk 66 sekolah di Wilayah Persekutuan membabitkan 48,527 pelajar dan 53 sekolah di Negeri Sembilan dengan 28,073 pelajar turut diarahkan tutup berikutan beberapa kawasan mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Turut dilaporkan, Selangor mencatatkan penutupan sekolah paling tinggi iaitu membabitkan 538 sekolah diikuti Sarawak (337); Perak (303); Pulau Pinang (162), Kedah (119) dan Putrajaya (25).

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat ini tiga lokasi di Selangor mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Petaling Jaya (207), Shah Alam (216) dan Johan Setia, Klang (258).

Kualiti udara di Nilai, Negeri Sembilan turut berada pada paras sangat tidak sihat dengan bacaan 210 setakat jam 7 malam.

Tempat lain mencatatkan IPU lebih 200 adalah di Sarawak iaitu Sri Aman (228) dan Kuching (215); di Kedah iaitu Kulim Hi Tech (206) serta di Pulau Pinang membabitkan Minden (230) dan Balik Pulau (257).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:04 PM