HAZREEN menolak Mohd Aliff yang duduk di kerusi roda menuju ke meja makan beradab ketika majlis persandingan mereka di Putrajaya, Ahad lalu. FOTO ihsan Hazreen Affiza Muhamad.
Redzuan Muharam


“KAMI sepakat meneruskan majlis itu kerana sudah lama membuat persiapan dan bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dengan izin Allah SWT,” kata Hazreen Affiza Muhamad.

Hazreen Affiza, 30, memberi reaksi berhubung rakaman video ketika majlis perkahwinannya yang mendapat perhatian warganet selepas dimuat naik adiknya, Anis Farhana, 24, di Twitter, kelmarin.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 51 saat itu, Hazreen dilihat menolak suaminya, Mohd Aliff Mohd Saidi, 32, yang duduk di kerusi roda menuju ke meja makan beradab sewaktu majlis persandingan mereka di Putrajaya, Ahad lalu.

Rata-rata warganet yang menonton video berkenaan meluahkan rasa sebak dan memuji Hazreen kerana kesanggupannya memilih Mohd Aliff sebagai teman hidup walaupun suaminya sudah tiga kali terkena serangan angin ahmar.

Bercerita lanjut, Hazreen berkata, detik perkenalannya dengan Mohd Aliff bermula selepas mereka bertemu di majlis perkahwinan rakannya, empat tahun lalu.

“Saya berkenalan dengan Mohd Aliff melalui rakan yang kini bergelar adik ipar dan keserasian itu membawa kami ke jinjang pelamin.

“Sebelum ini, suami sihat tetapi segalanya berubah selepas dia diserang angin ahmar pertama pada Ramadan lalu apabila kaki kanannya kebas hingga tidak dapat bergerak.

“Serangan angin ahmar kedua terjadi dua minggu kemudian ketika berada di hospital dan kali ketiga berlaku pada 16 Ogos lalu sewaktu suami berada di surau bagi menunaikan solat Maghrib bersama bapanya.

“Bagaimanapun, suami saya boleh berjalan cuma pergerakannya tidak stabil dan buat masa ini, dia masih dalam pemantauan doktor,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


HAZREEN sanggup mengahwini Mohd Aliff yang sudah tiga kali diserang angin ahmar sejak Ramadan lalu. FOTO ihsan Hazreen Affiza Muhamad.

Menurut Hazreen, dia dan Mohd Aliff saling memberi semangat kepada satu sama lain dan persefahaman itu mengeratkan hubungan mereka sekalipun berdepan dugaan sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri.

“Saya mencintai suami dengan sepenuh hati dan sanggup menerima kekurangannya kerana sudah mengharungi susah senang bersama sepanjang empat tahun perkenalan.

“Dalam masa sama, kedua belah keluarga memberi sokongan amat luar biasa jadi ia memberi keyakinan kepada saya untuk meneruskan perkahwinan ini.

“Lagipun, suami saya kuat semangat dan sebagai isteri, saya akan sentiasa membantunya kerana mahu melihatnya pulih seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu, Hazreen terkejut selepas mengetahui kisahnya dan suami tular di laman sosial kerana sama sekali tidak menyangka video berkenaan akan tular.

“Menang terkejut selepas mengetahui video berkenaan tular kerana tidak pernah melalui perkara seperti ini dalam hidup dan saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:30 PM