FENDY dicalonkan bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH tahun ini.
Ardini Sophia Sina

SEKIAN lama membina kerjaya sebagai pelakon, tahun 2017 membawa tuah buat Fendy Bakry apabila popularitinya meletus selepas melakonkan watak utama dalam drama bersiri Mr Grey.

Impak lakonan itu cukup besar kepada kerjayanya hingga dia berjaya memenangi kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31, tahun lalu.

Menerusi anugerah sama, tahun ini anak jati Perlis ini ‘naik pangkat’ pula apabila dicalonkan bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular bersaing dengan Fattah Amin, Izzue Islam, Remy Ishak dan Syafiq Kyle.

Fendy ketika ditemui berkata, dia tidak meletakkan harapan untuk memenangi kategori berkenaan kerana masih baru jika dibandingkan dengan calon lain yang terlebih dulu meraih populariti.

“Kejayaan tahun lalu adalah hasil sokongan daripada peminat yang menonton drama Mr Grey. Mereka adalah individu yang bertungkus-lumus mengundi tanpa mengira waktu.

“Bagi pencalonan tahun ini, saya tidak mengharapkan kejayaan kerana saya tahu calon lain jauh lebih hebat dan nama mereka juga cukup besar dalam industri sedangkan saya hanyalah pelakon baru. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana sampai ke tahap ini,” katanya.

Setiap anak seni pastinya memasang impian untuk sekurang-kurangnya menerima satu anugerah sebagai tanda pengiktirafan pada bakat mereka.

Bagaimanapun, andai kemenangan itu tidak digunakan dengan baik, anugerah yang diterima tidak akan membantu seseorang itu terbang lebih tinggi.

Bagi Fendy, bakat seseorang itu tidak boleh diukur menerusi jumlah trofi kemenangan yang diterima kerana bakat dan anugerah adalah dua perkara berbeza.

“Kemenangan pada majlis anugerah boleh membantu seseorang untuk terus berjaya dalam dunia seni. Bagaimanapun, terpulang kepada individu berkenaan membawa diri dalam industri selepas meraih kejayaan. Adakah dia mampu bertahan atau sebaliknya, itu adalah perkara yang lebih penting.

“Mungkin ada segelintir individu yang menganggap bahawa trofi adalah kemuncak pada kerjaya. Bagaimanapun, secara peribadi, bakat tidak boleh dinilai dengan jumlah kemenangan.

“Bagi saya, bakat itu dinilai berdasarkan selama mana anak seni itu mampu bertahan dalam industri dan kekal relevan di mata penggiat seni serta kehadirannya masih diterima oleh peminat,” katanya

BIAR LAMBAT ASAL SELAMAT

Kembara seni Fendy bermula selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada 2012 yang turut disertai Fattah Amin, Syafiq Kyle, Hafreez Adam, Ben Amir, Hafidz Roshdi dan Saharul Ridzwan.

Ketika rakannya sedang membina nama kukuh sebagai pelakon dan sibuk dengan jadual padat, ketika itu Fendy pula sedang bertatih menyusun konkrit kerjayanya.

Walaupun kariernya sedikit terlambat jika dibandingkan yang lain, tidak ada kekesalan di hatinya kerana dia tahu, rezeki setiap individu berbeza. Masing-masing mempunyai masa untuk bersinar.


FENDY anggap diri masih ‘hijau’.

“Tidak dinafikan, impak Mr Grey sangat besar dan membantu kerjaya seni. Saya sangat berterima kasih kepada Global Station yang memberikan peluang dan ruang pada saya membuktikan bakat.

“Walaupun sehingga kini masih lagi ada yang panggil saya sebagai Mr Grey, saya tidak bimbang terus dibayangi watak itu. Saya teruskan karier seperti biasa dan pelbagaikan lagi watak.

“Mungkin kehadiran saya dalam industri lambat disedari jika dibandingkan rakan lain tetapi sudah tertulis rezeki mereka tertulis untuk lebih mendahului daripada saya. Rezeki masing-masing.

“Ketika itu juga saya sibuk dengan ‘consult training’ jadi untuk fokus dalam lakonan memang susah sikit. Selepas semuanya selesai barulah saya kembali aktif dengan berlakon bermula dengan telefilem arahan Osman Ali,” katanya.

Graf kerjaya Fendy ada turun naik tetapi dia bersyukur kerana setakat ini jadual kerjayanya masih padat. Dia bersyukur kerana masih diberikan rezeki namun sentiasa bersedia berhadapan apa jua keadaan.

Tidak terlalu memikirkan perkara itu, apa yang Fendy lakukan adalah sentiasa memastikan dia memberikan lakonan berkualiti buat peminat drama. Selain itu, dia juga ingin mencuba cabang seni lain seperti pengacaraan.

Sudah mempunyai teman istimewa, Fendy bagaimanapun enggan bercerita lebih lanjut mengenai hal peribadi kerana tidak mahu mencampur-adukkan dengan kerjaya.

“Saya tidak gemar berkongsi peribadi pada umum. Namun apa yang saya boleh katakan, andai ada rezeki ke fasa seterusnya, saya pasti akan hebahkan kepada peminat,” katanya.

TRIVIA

- Pernah menghidap penyakit misteri sekitar April tahun lalu.

- Sebelum popular, Fendy pernah berlakon dalam dua filem pendek pada 2016.

- Kehadiran mulai disedari apabila berlakon dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma.

- Drama Cinta Belum Tamat Tempoh lakonannya sedang ditayangkan di televisyen.

- Pernah digosipkan dengan Syifa Melvin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:30 AM