Firdaus Hashim


BUKAN liga utama Jepun sebaliknya liga Belgium yang bakal menjadi destinasi penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Luqman dijangka menyertai kelab KV Kortrijk musim depan dan menurut sumber, pemilik kelab berkenaan yang juga ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan tertarik dengan kebolehan yang ada pada penyerang muda negara, sekali gus sedia menawarkan kontrak profesional selama lima tahun kepadanya.

Andai menjadi kenyataan, Luqman bakal muncul anak Malaysia pertama beraksi dalam liga utama di Eropah.

Meskipun sebelum ini Nazmi Faiz Mansor pernah beraksi di Portugal bersama SC Beira Mar pada 2013, namun pemain tengah itu sekadar membuat kemunculan di liga divisyen dua.

Malah, beberapa pemain lain juga seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Saari sekadar beraksi di liga bawahan sama ada di Perancis serta Jerman.

“Esok (hari ini) Tan Sri (Vincent Tan) akan mengadakan majlis mengenai kerjasama dengan NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) dan mungkin mengumumkan sesuatu mengenai Luqman.

“Jika jadi, ini satu penanda aras yang baik dan positif buat bola sepak Malaysia. Dengan pemergian dia ke sana, pasti dapat membuka jalan buat lebih ramai pemain tempatan berhijrah ke luar terutama Eropah,” katanya kepada Arena Metro.

Walaupun liga utama Belgium tidak gah seperti Liga Perdana Inggeris (England), La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman) atau Serie A (Itali), namun dengan kedudukan skuad kebangsaan Belgium di ranking nombor satu dunia membuktikan bahawa tahap persaingan yang baik di liga berkenaan.

Pemain-pemain hebat dunia seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Adnan Januzaj, Divock Origi dan Christian Benteke adalah hasil daripada pembangunan bola sepak di negara itu.

Berdasarkan semakan terkini kedudukan KV Kortrijk di Liga Satu Belgium, kelab itu kini berada di posisi ke-11 selepas tujuh aksi setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:00 AM
LUQMAN ketika jalani latihan. FOTO arkib NSTP