SAITUN Amri berdiri di hadapan rumahnya di Paya Jaras Hilir. FOTO Mahzir Mat Isa
Khairul Najib Asarulah Khan


“KAMI semua bukan itik boleh halau dan rumah dirobohkan begitu saja,” kata Sanipah Sadlin, 59, penduduk yang hilang tempat berteduh selepas rumahnya di Paya Jaras Hilir di sini, dirobohkan, kelmarin.

Dalam operasi perobohan dilakukan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Petaling kelmarin, 55 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit memberi tempoh kepada pemilik 37 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Sanipah yang menghidap kanser payu dara itu berkata, akibat kehilangan tempat tinggal menyebabkan dia bersama penduduk lain yang terjejas tidur dalam khemah dalam keadaan kurang selesa.


PENDUDUK membantu mengalihkan barang-barang di kediaman yang dirobohkan. FOTO Eizairi Shamsudin

Menurutnya, dia bersyukur ada pihak yang prihatin tampil memberi bantuan itu kerana mereka sudah tidak tahu ke mana mahu mencari tempat berlindung.

“Saya sudah tinggal di rumah itu hampir 20 tahun dan pada 5 Ogos lalu saya dapat notis perlu mengosongkan rumah dalam tempoh 30 hari untuk tujuan perobohan.

“Tempoh diberikan terlalu suntuk dan saya ibu tunggal yang tidak bekerja. Selain itu, tiada pampasan atau rumah sementara disediakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati 11 khemah didirikan penduduk dan Ahli Jawatankuasa PAS Sungai Buloh bagi menempatkan lebih 200 penduduk terjejas terdiri pelbagai peringkat usia termasuk warga emas dan kanak-kanak.

Penduduk lain, Suhawiya Patli, 55, berkata, dia buntu kerana tidak mengetahui berapa lama perlu menumpang teduh di khemah itu.

“Ada penduduk berusaha mencari rumah sewa namun saya hanya suri rumah manakala suami, Nasuri Patli, 59, bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan tidak seberapa.


SANIPAH dan Azroy. FOTO Eizairi Shamsudin

“Kami tidak mampu membayar sewa rumah dan berharap ada pihak sudi membantu penduduk miskin seperti kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf berkata, lebih 200 penduduk yang hilang tempat tinggi kini ditempatkan sementara di khemah itu.

Menurutnya, segala makan dan minum mereka disumbangkan penduduk sekitar, badan bukan kerajaan (NGO) serta PAS.

“Sebelum ini ada beberapa rundingan bersama pihak berkuasa terbabit untuk meminta perobohan ditangguh sehingga Disember depan namun tidak dilayan.

“Kerajaan negeri Selangor pernah menawarkan kediaman di bawah program Rumah SelangorKu di Bukit Rahman Putra, di sini, tetapi dijangka siap pada penghujung 2021.

“Keadaan ini menyebabkan penduduk tiada arah selain tiada dokumen lengkap untuk memohon perumahan itu,” katanya.


PENDUDUK membawa keluarga berteduh di khemah sementara. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:15 AM