Shamsul Munir Safini


PIHAK pendakwaan memohon Mahkamah Majistret, di Bukit Mertajam memasang penghadang bagi mengelak tertuduh kes pandu lawan arus, Ng Pei Ven, 21, berkomunikasi dengan keluarganya dari kandang saksi.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan sebelum tertuduh dilihat terpinga-pinga dan mengalirkan air mata.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari membuat permohonan itu selepas tertuduh dilihat berkomunikasi dengan keluarganya yang duduk di tempat awam setiap kali diajukan soalan.

Pada hari pertama kes bela diri pagi hari ini, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan pembelaan bersumpah di kandang saksi di hadapan Majistret Sri Prancha Nanthini Balabedha.

Dalam prosiding dikendalikan dalam bahasa Mandarin itu, peguam tertuduh, Lim Boon Beng juga mengemukakan dua dokumen kepada mahkamah masing-masing laporan doktor dan surat pengesahan kad Orang Kurang Upaya (OKU) milik tertuduh.

Pada prosiding itu juga, tertuduh mengaku sudah sembilan bulan memiliki lesen memandu sebelum kejadian berlaku pada 14 Mac 2017.

Pihak pembelaan juga akan memanggil dua saksi, doktor dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengeluarkan kad OKU berkenaan.

Mahkamah juga diberitahu tertuduh bahawa dia terpaksa membuat pusingan sebelum Plaza Tol Sungai Dua kerana melihat sebuah lori yang cuba melanggarnya di hadapan.

Ketika disoal Mohd Amril, tertuduh mengaku bahawa dia mempunyai lesen memandu yang sah dan sudah melalui ujian lalu lintas dan isyarat jalan raya.

Ketika disoal sama ada tertuduh tahu bahawa memandu melawan arus adalah satu kesalahan, Ng memberitahu mahkamah dia tidak faham dengan soalan yang diajukan.

Mahkamah ditangguh dan akan disambung petang ini.

Tertuduh sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada 7.50 pagi 14 Mac 2017.

Berita berkaitan:

  • Tidak mengaku salah guna syabu
  • Bebas tuduhan guna dadah [METROTV]
  • Sekali lagi mengaku tidak bersalah
  • Nafi salah
  • Malu tunjuk muka
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 2:42 PM
    MODEL sambilan, Ng Pei Ven, 21, hadir  di Mahkamah Bukit Mertajam selepas diperintahkan untuk membela diri berhubung tindakannya memandu melawan arus di bawah pengaruh dadah hingga meragut nyawa seorang juruteknik di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Permatang Pauh, Butterworth pada 14 Mac 2017. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal