AMEER hadir single solo ketiganya berjudul Sudahlah.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


MENGANGGOTAI kumpulan Forteen tidak menghalang Ameerais Azhar atau Ameer untuk mengembangkan sayap sebagai penyanyi solo.

Ameer berkata, walaupun bersatu dalam kumpulan, dia sentiasa menerima sokongan daripada rakan-rakannya untuk bekerja keras mempersembahkan bakatnya sebagai penyanyi solo.

Terbaru, Ameer hadir dengan single solo ketiganya berjudul Sudahlah. Ameer turut menampilkan pemain gitar, Denny Mojo dalam lagu ciptaan Merah Biru ini.

“Ini adalah single solo ketiga saya dan kalau diikutkan, kerjasama bersama Denny ini sudah dirancang sejak empat hingga lima tahun lalu. Saya memang mengenali Denny dan selalu ‘jamming’ bersama,” katanya.

Menurutnya, Sudahlah adalah satu daripada beberapa karya yang disenarai pendek untuk dijadikan single.

“Saya ada 11 lagu yang diberikan kepada saya. Selepas disenarai pendek, kami pilih yang terbaik dan Sudahlah adalah satu karya yang benar-benar memikat hati saya,” katanya.

Ditanya bagaimana dia seimbangkan antara kerjaya solo dan Forteen, Ameer berkata, dia tidak pernah meninggalkan Forteen di belakang.

“Kedua-duanya sentiasa menjadi keutamaan buat saya. Walaupun ada kerjaya sebagai penyanyi solo, saya masih lagi membawa nama Forteen ke mana saja saya pergi.


AMEER

“Setiap daripada kami juga ada kerjaya masing-masing. Ariz berkembang sebagai penyanyi dan pelakon manakala One mengembangkan kerjaya solonya sehingga ke Indonesia.

“Yang pasti, kami sentiasa menyokong antara satu sama lain untuk terus berjaya dan pergi lebih jauh di dalam industri muzik ini,” katanya.

Satu lagi langkah yang diambil Ameer untuk mengasingkan kerjaya solo dan berkumpulan adalah dengan mengubah penampilannya.

“Penampilan saya sekarang tidak sama seperti saya bersama Forteen. Saya pilih penampilan berbeza ini untuk wujudkan identiti sendiri sebagai penyanyi solo.

“Tapi, kalau muncul sebagai Ameer Forteen, saya akan kekalkan penampilan kami bertiga seperti mana yang anda biasa lihat,” katanya.

Ameer kini sibuk mempromosikan Sudahlah dan akan menjalani penggambaran video muzik.

Di YouTube, Sudahlah yang dilancarkan sejak 6 September lalu dan video liriknya juga sudah mencatat 57,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:20 AM