BELLA kini wanita paling bahagia.
Oleh Georgie Joseph


MENGENALI Bella Dally, 27, dia adalah wanita yang tidak lekang dengan aura positif.Setiap perkara dilakukan pelakon wanita jelita ini kerap menjadi inspirasi ramai wanita lain. Ini termasuklah bagaimana dia menangani musibah yang pernah melanda hidupnya.

Melihat betapa cerianya dia, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally jelas berada di puncak bahagia terutama selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Arif Izuddin pada 31 Mac lalu yang menambahkan lagi serinya.

Kini, pelakon Makmum Yang Paling Aku Cinta itu lebih terbuka berkongsi sisi kehidupannya. Berbanding sebelum ini, dia seakan memendam banyak perkara dan sekadar aktif mengemas kini mengenai karier di media sosial.

Namun begitulah suratan takdir, bahagia kini miliknya apabila dipertemukan suami seperti Arif. Fasa kehidupannya kini jauh lebih indah. Hari-harinya cerah dan hatinya sekarang cuma dipenuhi perkara positif.

Perkara itu diakui Bella di mana kehadiran Arif membawa seri baru dalam hidupnya. Bukan tidak gembira sebelum ini, tetapi kebahagiaan sekarang lebih berganda dan memberi impak ketara terhadap dirinya.

"Alhamdulillah, sebelum ini pun saya memang sudah cukup gembira. Tapi, selepas berkahwin dengan Arif, saya tak boleh menafikan yang saya lagi bahagia dan positif.

"Syukur sangat saya memiliki seseorang yang betul-betul memahami, penyayang dan hormatkan saya. Apabila kita bahagia, kita rasa bersemangat untuk melakukan apa juga perkara. Selain itu, saya sangat percaya penting untuk kita buatkan diri sendiri gembira sebelum mengharapkan kebahagiaan daripada orang lain.

"Kalau kita praktikkan konsep itu, Insya-Allah kita akan lebih berdikari dari segi emosi dan kegembiraan itu akan bertahan.

Kehadiran Arif dalam hidup saya memang menggembirakan hari-hari saya," kata pelakon asal Kota Kinabalu, Sabah ini.

Enggan mengenang perkara duka yang pernah melanda hidupnya, Bella jauh sekali mahu mengungkit sebarang kesedihan lalu. Dalam kepalanya hanya mahu terus bangkit dan berjaya.

Apapun, dia tidak menafikan kematangan dirinya jauh lebih dirasai selepas belajar dari pengalaman lalu. Pengajaran itu jugalah ingin dijadikannya senjata untuk memberi inspirasi kepada ramai wanita lain di luar.

"Saya kini lebih menghargai ketenangan jiwa dan saya belajar untuk menerima diri saya dengan seadanya. Kisah silam membuatkan saya menjadi seorang yang lebih matang dan penyabar.

"Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku dalam hidup saya. Segala pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat.

"Saya gembira apabila dapat menjadi inspirasi kekuatan kepada wanita lain yang melalui nasib sama. Sesungguhnya selepas kesusahan itu ada kesenangan dan saya sangat percaya pada hikmah itu," katanya.

SEMAKIN BERSEMANGAT BERNIAGA

Tahun ini menjadi tahun teristimewa buat Bella apabila melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.Bella berkata, impian itu sebenarnya sudah dipendam lama tetapi baru tahun ini berani dilaksanakan.

Lebih bermakna apabila perniagaan produk kosmetik yang baru dilancarkan bulan lalu turut mendapat sokongan padu keluarga terutama suaminya.

"Dua tahun saya pendam hasrat menceburi bidang perniagaan yang diidamkan sejak dulu. Suami jugalah yang kerap 'brainwash' dan ingatkan bahawa saya boleh lakukannya.

"Tahun ini impian saya untuk menjual Olumis Cosmetic Lipcream menjadi kenyataan dan rasa lebih berani untuk menceburi bidang perniagaan. Saya mendapat banyak sokongan bukan saja daripada suami tetapi juga keluarganya selain keluarga saya sendiri dan rakan-rakan.

"Tiada apa lagi yang saya inginkan dan sokongan ini pembakar utama semangat saya. Saya bersyukur dengan kehadiran mereka semua yang tidak putus memberikan kata-kata semangat buat saya," katanya.

JAGA RAPI KUALITI KERJA DAN JENAMA

Seiring dengan jenamanya bukan saja sebagai pelakon tetapi juga ikon ramai wanita Muslimah, Bella mahu fokus kepada mutu kerjanya.

Dalam lakonan, dia kini lebih cerewet dalam pemilihan watak. Baginya paling penting dia perlu berterusan menunjukkan hasil kerja cemerlang.

"Ya, mungkin saya ada sedikit cerewet tapi tetap akan berlakon terutama jika mendapat watak lain daripada yang lain. Ia termasuklah naskhah yang jalan ceritanya bagus dan daripada pengarah terbaik.

"Saya tak nak main rembat tawaran kerana saya pentingkan kualiti lakonan dan jenama saya. Saya juga takkan ambil dua tawaran dalam masa yang sama kerana tidak mahu hilang fokus," katanya.

Berkongsi perkembangan karier lakonan, Bella mengakui teruja apabila bekerjasama dengan pelakon Ungku Ismail dalam beberapa drama.


BELLA kini wanita paling bahagia. FOTO: Mahzir Mat Isa

Paling dinantikan ialah drama Adellea Sofea yang bakal memulakan penggambaran esok.Menurut Bella, wataknya dalam drama itu sangat berbeza dengan watak dijayakan sebelum ini.

"Saya baru saja habis penggambaran Durian Oh Durian untuk Slot Cerekarama TV3 yang dilakonkan dan diarahkan Ungku Ismail. Esok, saya akan bekerjasama lagi dgn Ungku untuk drama Slot Akasia TV3 yang bertajuk Adellea Sofea arahan Shahrul Ezad.

"Saya juga akan bergandingan bersama Mira Filzah dan watak saya kali ini cukup berbeza berbanding sebelum ini. Biasanya produksi atau stesen TV akan memberi watak yang ayu dan manis pada saya.

"Bagaimanapun, kali ni watak saya seorang peguam yang sangat negatif, tegas dan berdepan isu keganasan dalam rumah tangga. Saya mesti fokus 100 peratus untuk watak ini bagi memberikan hasil terbaik," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan menimang cahaya mata, Bella cuma meminta semua mendoakan yang baik-baik buat dia dan Arif.

"Insya-Allah, tunggu dan lihat saja. Yang pasti, kami takkan tolak jika kami dikurniakan rezeki lebih cepat," katanya.

TRIVIA

- Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

- Anak kedua daripada dua beradik.

- Bakatnya dicungkil daripada program realiti Pilih Kasih musim pertama di mana dia mendapat tempat keempat.

- Kacukan Melayu-Pakistan-Filipina-Pan Asia.

- Pernah berkahwin dengan pelakon Nazim Othman pada 2016 namun bercerai tahun lalu.

- Seorang yang cukup 'workaholic'.

CAPTION: 1) BELLA kini wanita paling bahagia.2) SENTIASA utamakan mutu kerja dan jenamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:30 AM