LUQMAN (tengah) bergambar bersama ibu bapa, Vincent (kiri) dan Syed Saddiq. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Syazwan Msar


“YOU (awak) berjaya atau tidak... terpulang kepada diri sendiri. Kami boleh sokong... pujuk... tapi yang mustahak awak sendiri mesti mau (hendak) berjaya.” Itu nasihat ahli perniagaan terkenal dan pemilik kelab KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan kepada penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang bakal menandatangani kontrak profesional lima tahun dengan kelab dari Belgium itu apabila mencapai umur 18 tahun, Mac depan.

Menurutnya, Luqman dipilih selepas memperaga aksi menakjubkan dalam Kejuaraan B-18 Persekutuan Bolasepak ASEAN 2019 di Ho Chi Minh, Vietnam bulan lalu.

“Kita sudah menemui pemain Malaysia yang mampu beraksi di Eropah dan harap dia berjaya. Terpulang kepada Luqman. Mahu rajin, saya cakap tadi... rajin belajar bahasa Inggeris, rajin dalam latihan dan jangan sesekali mengaku kalah.

“Luqman bermain dengan cemerlang dan menjaringkan banyak gol. Dia juga konsisten dalam banyak perlawanan, saya fikir dia ada peluang,” katanya pada Majlis Pengumuman Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan, semalam.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta ibu dan bapa Luqman, Hasmah Che Soh dan Shamsudin Mahmood.

Vincent berkata, berikutan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan hanya pemain 18 tahun ke atas boleh ditandatangani sesebuah kelab, Luqman akan menjalani latihan bersama sebuah lagi kelab miliknya, Cardiff City sebelum menyertai Kortrijk.

“Sebagai orang Malaysia, kita mesti menolong rakyat kita. Saya fikir ini kali pertama rakyat Malaysia dapat peluang ini. Tapi saya faham ramai pemain kita bermain di Jepun. Ini permulaan yang baik.

“Kami harap dapat membimbing, beri latihan dan galakan kepada Luqman untuk berjaya. Seperti saya kata di awal tadi, semua pihak termasuk yang mengetuai sukan di Malaysia mesti beri galakan kepada dia.

“Ada kala bersendirian di luar negara, kita rasa sepi dan rindukan tanah air. Orang muda perlu kuat dan saya fikir kami semua menyokong anda. Yang utama, terpulang kepada Luqman sendiri mahu berjaya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap bukan hanya Luqman, sebaliknya lebih ramai bakat bola sepak Malaysia dapat diketengahkan mewakili Kortrijk pada masa depan.

“Kita juga berharap bola sepak Malaysia dapat menyertai Piala Dunia dan mencapai ranking 70 dunia, jika tidak pemain kita tidak berpeluang bermain di United Kingdom, kecuali atas keadaan istimewa atau rayuan khas tetapi ia sukar.

“Secara peribadi saya gembira dapat membawa Luqman bermain di Eropah dan kami di Cardiff dan Kortrijk akan melakukan yang terbaik untuk menolongnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:00 AM