PENDUDUK mengangkat air yang diagihkan melalui lori tangki bagi kegunaan seharian berikutan terputusnya bekalan air di Flat Seri Siantan, Bukit Baru, Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


“WALAUPUN ia sudah berlaku 28 tahun yang lalu, namun peristiwa itu masih diingati betapa peritnya kehidupan harian kami apabila terpaksa ulang-alik mengangkut air.

“Dalam sehari lebih tiga kali terpaksa berulang-alik ke perigi terletak kira-kira satu kilometer dari rumah untuk mengangkut air. Boleh dikatakan ketika itu, apabila tahu di mana sahaja ada punca air, saya bersama arwah suami dengan dibantu anak-anak akan pergi,” kata wanita warga emas, Khatijah Long, 79, antara penduduk negeri ini yang pernah melalui kesukaran ketika krisis air terburuk pada 1991 yang berlarutan selama beberapa bulan.

Menurutnya, ketika itu, penduduk terpaksa mengerah kudrat bagi mendapatkan bekalan air.

“Saya berharap agar peristiwa itu tidak berulang susulan Melaka ketika ini berdepan krisis air,” katanya.

Sejak dua minggu lalu, penduduk negeri ini terutama di lebih 20 kawasan membabitkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin terjejas dengan gangguan bekalan air akibat tekanan air rendah berikutan paras air di beberapa empangan dan kolam tadahan serta sungai di Melaka dalam keadaan tidak memuaskan.

Menurut Khatijah, lebih menyukarkan ketika itu apabila dua anak perempuannya baru melahirkan anak.

Katanya, cubaan arwah suami bersama ahli keluarga lain menggali perigi di laman rumah mereka di Kampung Mata Kuching tidak berhasil kerana air kotor.

“Waktu itu bukan macam sekarang, dulu bayi kebanyakan pakai kain lampin dan perlu dibasuh setiap hari, malah air mineral pun tidak banyak dijual di kedai seperti sekarang.

“Boleh dikatakan anak dan menantu habis dikerah untuk mengangkut air dan ketika itu tidak banyak rumah yang ada telaga, jadi kami serta jiran bersama-sama mengangkut air,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada lori Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menghantar bekalan air, namun tidak mencukupi.

“Syukur sepanjang ketiadaan air, kami anak-beranak tidak pernah terkena sakit perut dan cirit-birit kerana saya akan pastikan air digunakan untuk memasak atau minum dimasak sebaiknya.

“Walaupun bekalan air di rumah ini masih ada, sebagai persediaan awal jika turut terjejas seperti tempat lain, saya sudah menadah dan membuat penyimpanan,” katanya.

Difahamkan, krisis air yang berlaku pada 1991 itu berlaku apabila Empangan Durian Tunggal kering menyebabkan lebih 600,000 penduduk terjejas yang berpunca daripada kesilapan dalam pemantauan empangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:30 AM