RUMAH mewah suspek yang terlindung daripada pandangan pihak berkuasa. FOTO ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


DIA dikatakan ‘kebal’ namun segala kegiatan pencerobohan tanah selama lima tahun di Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas itu akhirnya dihidu pihak berkuasa.

Malah, hasrat suspek yang juga kontraktor untuk menanam kelapa sawit dan durian Musang King di kawasan itu juga tidak kesampaian apabila ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama seorang pekerjanya, kelmarin.

Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, suspek yang dikatakan ‘kebal’ sebelum ini membuat pagar di tanah berkenaan bagi mengelak orang awam dan penguat kuasa menghidu kegiatannya.

“Kawasan hutan berhampiran Mahang, Kulim itu dibersihkan dan dijadikan kawasan pertanian serta ternakan haiwan,” katanya.


KANDANG rusa dan kambing yang dibina suspek. FOTO ihsan JPNK

Dalam serbuan jam 4 petang bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), merampas 36 rusa, tujuh landak, tiga burung unta serta empat kuda yang diternak dan dipelihara secara haram di dalam hutan berkenaan.

Menurutnya, kontraktor berusia 43 tahun itu ditahan ketika berehat di rumah kayu yang dibina di dalam hutan terbabit.

“Pekerjanya pula yang juga warga Bangladesh berusia 46 tahun sedang membina chalet di kawasan itu,” katanya.

Roslan berkata, rumah yang dibina di dalam hutan berkenaan adalah daripada jenis kayu yang bernilai tinggi.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas JPNK menerima maklumat awam mengenai kegiatan lelaki terbabit manakala risikan dilakukan selama seminggu untuk meneliti kegiatannya.


KONTRAKTOR ceroboh hutan selama lima tahun bina kawasan pelancongan haram. FOTO ihsan JPNK

“Anggota JPNK terpaksa meredah hutan untuk melakukan intipan dari atas bukit sebelum serbuan.

“Semasa serbuan, tiga pekerjanya sedang membina chalet namun dua daripada mereka melarikan diri ke dalam hutan,” katanya.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati kawasan itu sudah diceroboh dan diteroka sejak lima tahun lalu dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM500,000.

“Pihak kami turut merampas sebuah jengkaut yang digunakan untuk meratakan hutan berkenaan selain sebuah lori dan pacuan empat roda.

“Haiwan ternakan pula akan diserahkan kepada Perhilitan untuk disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mahang sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.


SURAU yang belum siap dibina disita pihak berkuasa. FOTO ihsan JPNK

Roslan berkata, kes itu akan disiasat mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu Seksyen 32 (1) kerana menduduki dan menjalankan aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, lelaki terbabit turut berdepan siasatan mengikut Seksyen 81(1)(b) kerana menebang pokok dengan membawa hukuman yang sama.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) kerana membersih atau membajak tanah dalam Hutan Simpanan Kekal untuk tanaman serta Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pasang pagar zink untuk kaburi pihak berkuasa

Kulim: Suspek kontraktor yang menceroboh Kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas mahu menjadikan kawasan terbabit sebagai pusat pelancongan menerusi pembinaan dua chalet dan penternakan haiwan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) Roslan Rani berkata, kawasan hutan seluas 35 hektar sudah diteroka lelaki berkenaan.

“Dia juga sudah menanam kelapa sawit termasuk membina rumah, kolam ikan serta kandang haiwan ternakan seperti rusa, landak, burung unta dan kuda,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun itu membersihkan kawasan itu secara berperingkat dan projek terbarunya adalah menanam durian Musang King selain kelapa sawit.


SUSPEK teroka kawasan hutan seluas 35 hektar secara berperingkat selama lima tahun. FOTO ihsan JPNK

Roslan berkata, bagi mengaburi pihak berkuasa dan orang ramai, suspek memasang pagar zink di hadapan pintu masuk kawasan berkenaan.

Katanya, ia seolah-olah memberi gambaran tanah itu sudah menjadi miliknya.

“Sebenarnya itu adalah modus operandinya untuk menceroboh hutan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Roslan berkata, JPNK tidak akan berkompromi dengan kegiatan pencerobohan hutan simpan kekal kekal kerana ia boleh merosakkan ekosistem alam dan merugikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:00 AM