KV Kortrijk dijangka terima kehadiran Luqman Mac tahun depan. FOTO Aziah Azmee
Firdaus Hashim

EMPAT faktor - cuaca, bahasa, makanan dan kerinduan terhadap keluarga - bakal memainkan peranan besar yang mampu mempengaruhi penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin apabila dia berhijrah ke kelab Liga Belgium, KV Kortrijk tahun depan.

Ia adalah empat perkara yang digariskan bekas pemain negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang berpengalaman selama dua tahun di Liga Perancis bersama kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau pada 1999 hingga 2001.

“Empat masalah itu adalah halangan yang selalu menghantui mana-mana pemain apabila berkelana di liga luar terutama Eropah,” kata Akmal Rizal.

Katanya, Luqman memiliki kelebihan tersendiri yang tiada pada pemain Eropah iaitu kepantasan, namun untuk kekal bersaing, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu harus memiliki tekad dan kesabaran tinggi dalam menempuh ujian di tempat orang.

“Pertamanya, saya ucap tahniah kepada Luqman dan dia sememangnya ada kualiti untuk bermain di Eropah. Kalau nak berjaya sebagai pemain bola sepak, kita kena tanya adakah pergi (Liga Belgium) sebab orang suruh atau sebab nak jadi pemain profesional.

“Jika nak berjaya... dia kena ada tekad dan saya percaya Luqman seorang pemain yang ada semangat juang serta berani menyahut cabaran. Kalau dia tak ada tekad, saya tak rasa dia akan ambil tawaran itu.

“Mungkin cabaran paling besar adalah bahasa. Tapi, macam saya dulu, lepas tiga bulan masuk kelas (belajar bahasa Perancis), Alhamdulillah boleh faham dan memahami bahasa itu dan tak ada masalah.

“Jadi, Luqman pasti akan dapat bergaul dengan mudah. Begitu juga dengan makanan, cuaca dan rindu keluarga. Jika Luqman ada tekad yang kuat, semua itu bukan masalah besar untuk kekal lama di sana,” katanya yang terpaksa pulang ke tanah air pada 2001 ekoran masalah kecederaan.

Kelmarin, Arena Metro secara eksklusif mendedahkan penghijrahan Luqman bersama kelab Kortrijk dalam liga divisyen satu Belgium sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan.

Menerusi pengumuman rasmi itu, penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 tahun lalu itu ditawarkan kontrak profesional selama lima tahun dan ia hanya akan dilakukan Mac tahun depan selepas Luqman berusia 18 tahun.

Luqman muncul pemain Malaysia pertama beraksi di Belgium dan keempat daripada Asia Tenggara selepas penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan yang menyertai OH Leuven, penyerang Vietnam, Nguyen Cong Phuong bersama kelab Sint-Truidense dan pemain pertahanan kiri Indonesia, Firza Andika dengan kelab AFC Tubize.

Jelas Akmal lagi, fizikal bukan halangan buat Luqman kerana beberapa pemain dunia seperti ketua pasukan Belgium sendiri, Eden Hazard dan tonggak Argentina, Lionel Messi juga bertubuh kecil.

“Itu bukan masalah besar. Usia Luqman pun masih muda, dia baru 17 tahun sekarang dan apabila dia mula menjalani latihan di sana nanti, sudah tentu kelabnya akan menitik beratkan soal pemakanan dan sains sukan.

“Aset dia adalah kelajuan dan ketenangan depan gol. Saya yakin Luqman akan bersaing secara sihat dan mampu mendapat tempat dalam pasukan, sekali gus dapat memberi impak positif kepada skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM