Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir yang masih tinggal di negara kita. FOTO Roy Goh.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

APA ertinya sambutan Hari Badak Sedunia disambut pada hari ini (22 September) jika spesies badak sumbu Sumatera pupus sepenuhnya di Semenanjung Malaysia.

Dalam tempoh 30 tahun, sekitar 77 hingga 120 badak sumbu Sumatera yang berada di dalam hutan kita lenyap satu persatu.

Apa yang tinggal kini hanya seekor badak Sumatera betina terakhir bernama Iman ditempatkan di Santuari Badak Borneo (BRS) Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, Sabah.

Kepupusan spesies mamalia tempatan turut dikenali sebagai badak sumbu Kerbau ini satu kehilangan besar fauna terutama untuk tatapan generasi muda.

Kedukaan itu turut dikongsi Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang menyifatkan kepupusan hidupan ini kerugian kepada khazanah negara.

Menurutnya, sejarah kewujudan dan penemuan badak sumbu Sumatera di Malaysia mula dikesan pengkaji luar negara sekitar awal 60-an di Sungai Sepia dan Sungai Tahan, Pahang.

Kajian populasi dan ekologi badak Sumatera giat dijalankan oleh pengkaji tempatan terutama kakitangan Jabatan Perhilitan di kawasan taburannya sekitar Endau Rompin, Hulu Bernam, Taman Negara dan beberapa lokasi hutan simpan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Johor sekitar awal 1980-an.

“Usaha Perhilitan disusuli program tangkapan badak di Semenanjung Malaysia yang dipergiatkan untuk menyelamatkan spesies ini daripada ancaman pemburuan dan kehilangan habitat antara 1985 hingga 1990.

“Program pembiakan semula jadi kemudian dijalankan melalui badak yang ditangkap dan dipelihara di pusat kurungan Zoo Melaka. Usaha ini berhasil apabila anak badak betina dilahirkan di zoo berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, program pembiakan badak sumbu kemudian dipindahkan ke pusat pembiakan badak di Sungai Dusun, Selangor bagi meningkatkan lagi keupayaan konservasi ex-situ.

“Sebanyak sembilan badak Sumatera dipelihara di situ sepanjang program dijalankan. Pada masa sama satu pelan tindakan badak Sumatera untuk Malaysia disediakan bagi meningkatkan konserversi Badak Sumatera.

“Perhilitan turut berusaha meningkatkan pemantauan melalui Penubuhan Rhino Patrolling (RPU) berikutan populasi badak ketika itu dianggarkan masih wujud antara 77 hingga 120 ekor,” katanya.

Malangnya, badak Sumatera di dalam kurungan di Sungai Dusun mati seekor demi seekor akibat serangan parasit darah (Trypnosomys Evensii).


Kadir berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan, badak Sumatera dikesan kali terakhir di Temenggor, Perak pada 2010.

“Pencarian badak melalui aktiviti inventori hidupan liar, kaji selidik mamalia besar dan National Tiger Survey masih diteruskan namun kesan badak Sumatera gagal ditemui sejak 2010 hingga kini,” katanya.

Menurutnya, kepupusan badak berpunca kehilangan habitat berpunca aktiviti pembangunan dan perubahan guna tanah yang pesat untuk pertanian sejak 1960-an.

“Selain itu, aktiviti pemburuan haram menyebabkan kehilangan populasi haiwan ini dengan lebih cepat. Badak diburu kerana sumbunya mempunyai nilai tinggi di pasaran untuk dijadikan ubat-ubatan tradisional dan ukiran,” katanya.

Kadir berkata, satu-satunya jalan terakhirnya untuk menghalang kepupusan badak di Malaysia adalah melalui pembiakan berbantu atau assisted reproductive technology (ART).

“Malaysia kini hanya memiliki badak Sumatera betina terakhir. Untuk melaksanakan program ini, Malaysia memerlukan bahan pembiakan induk jantan (sperma) badak Sumatera terpilih yang dipelihara di Taman Nasional Way Kambas, Sumatera, Indonesia.

“Melalui kaedah ini, proses permanian berhadas atau Artificial Inseminatio (AI) ke atas badak betina dapat dilaksanakan. Jika badak ini mengalami masalah peranakan, kaedah seterusnya adalah melalui penghasilan embrio di dalam makmal dan menggunakan induk betina sebagai ibu tumpang,” katanya.

Menurutnya, kaedah ini banyak kali dibincangkan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

“Malah satu draf memorandum persefahaman (MoU) diperhalusi kedua-dua negara. Hasrat kerajaan Malaysia, kepupusan ini dapat dihalang dengan menambah populasi yang akhirnya dapat dikembalikan ke habitat asal satu hari nanti,” katanya.

Harapan biak badak terakhir

“Kami tidak pernah berputus asa. Masih ada harapan spesies badak sumbu Sumatera di Malaysia diselamatkan,” ujar Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (Bora), Datuk Dr Junaidi Payne.

Menurutnya, Bora berusaha keras cuba menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang masih ada di Malaysia.

Beliau berkata, spesies badak sumbu Sumatera yang wujud sekian lama di Asia Tenggara lenyap berpunca sikap manusia dan pertubuhan tertentu yang mendakwa cuba menyelamatkan spesies terancam ini.

“Ramai yang salah faham dengan menyangka badak Sumatera mempunyai persamaan dengan badak Afrika dan India, padahal ia spesies berbeza.

“Isu pemburuan haram dan kehilangan habitat bukan punca kepupusan haiwan ini sepenuhnya. Sebaliknya kelemahan kaedah pendekatan pembiakan dan pembiakbakaan menyebabkan bilangan badak Sumatera semakin mengecil sejak 1930-an.


DR Junaidi.

“Apa yang perlu dilakukan adalah meletakkan spesies ini di kawasan sesuai yang boleh meningkatkan potensi haiwan ini untuk terus membiak.

“Pihak berkuasa antarabangsa seperti Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN), Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) dan International Rhino Foundation seolah-olah tidak dapat menerima fakta ini. Akibatnya mereka memberi preskripsi yang salah,” katanya.

Menurutnya, masalah kedua adalah negara tertentu yang enggan menerima fakta bahawa 80 peratus darpadai semua badak Sumatera betina berdepan masalah patologi saluran pembiakan.

“Ini bermakna teknologi pembiakan lanjutan seperti persenyawaan in vitro (IVF) sepatutnya dilakukan sejak 1984 ketika idea itu dicadangkan.

“Hanya Malaysia, dengan bantuan bebas dari Jerman dan Itali mencuba kaedah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:30 AM