ANGGOTA polis mengangkat mangsa untuk dihantar ke hospital. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
PEGAWAI bomba dan polis memeriksa lokasi kebakaran yang menyebabkan seorang warga emas maut. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


WANITA warga emas meninggal dunia dengan kesan lecur di muka, badan dan kaki selepas rumahnya di Kampung Lubuk Pinang, Sanglang terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, Harison Kereya, 82, ditemui di dapur rumah berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Dia bagaimanapun tidak rentung.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.03 petang dan pasukannya tiba 16 minit kemudian.

Katanya, operasi turut dibantu anggota BBP Simpang Empat, BBP Arau Perlis dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kuala Sanglang dan Lana Bulu.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas C jenis kayu sepenuhnya yang terbakar hampir keseluruhan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa perempuan cedera dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tiba.

“Mangsa dipercayai melecur di muka, badan dan kaki namun tidak rentung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Bustan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala pasukan menggunakan dua aliran ‘hose’ empat pancutan bagi mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya .

“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik dari JBPM Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:12 PM