Nur Raysha yang sedang mendapat rawatan di PPUM, Petaling Jaya. Foto Mohd Nizrul Abdul Khair
Redzuan Muharam


“SEBELUM ini isteri, kini anak pula menderita akibat penyakit yang sama...saya reda dengan ujian ini dan berdoa semoga usaha mencari dana buatnya dipermudahkan," kata Mohd Nizrul Abdul Khair, 33.

Mohd Nizrul yang bekerja sebagai juruukur di Shah Alam buntu memikirkan nasib anak tunggalnya, Nur Raysha Adelia, tiga tahun yang menghidap hemolytic uremic sindrome (HUS) atau sel darah pecah.

Berikutan penyakit itu, Nur Raysha memerlukan sebanyak RM720,000 bagi menampung kos 18 suntikan eculizumab bernilai RM40,000 setiap satu yang bertujuan untuk menghalang sel darah daripada pecah dan menyelamatkan buah pinggangnya daripada gagal berfungsi.

Menurut Mohd Nizul, pengambilan suntikan itu juga disyorkan sebagai alternatif bagi menggantikan rawatan plasmapheresis yang hanya dapat memberi kesan sementara.

"Pada hari raya kedua (Aidilfitri) yang lalu, Nur Raysha mengalami demam dan cirit- birit hingga mukanya jadi pucat lesu.

"Keadaan itu, berterusan selama beberapa hari menyebabkan saya dan isteri (Nor Aini Mohd Tamin, 31) membawanya (Nur Raysha) ke klinik.

"Namun, penyakitnya hanya dapat dikesan selepas menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Parit Buntar, Perak tetapi tiada pakar di hospital berkenaan menyebabkan kesnya terpaksa dirujuk ke Hospital Taiping untuk pengesahan.

"Memandangkan keadaannya yang tidak stabil, Nur Raysha dirujuk pula dan dimasuk ke wad Hospital Pulau Pinang sebelum ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira dua minggu kemudian," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dimasukkan semula ke PPUM pada Ogos dan setakat ini sudah menjalani 17 sesi rawatan plasmapheresis.

Mohd Nizrul berkata, isterinya turut menghidap penyakit sama dan kini menjalani rawatan dialisis disebabkan masalah buah pinggang yang kronik akibat HUS.


ROZITA bersama Maya yang menderita jantung berlubang di kediamannya di Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Katanya, keadaan itu menyebabkannya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan bagi memantau keadaan Nur Raysha yang masih berada di wad.

"Buat masa ini, anak saya dalam keadaan sedar dan buah pinggangnya juga masih berfungsi tetapi belum boleh menjalani rawatan dialisis kerana usianya yang masih kecil.

"Saya pula tidak sampai hati meninggalkanya bersama isteri yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari sejak penyakitnya bertambah kronik.

"Disebabkan tiada pilihan, saya ambil keputusan untuk memohon cuti tanpa gaji dan mujurlah majikan faham dan beri kelulusan," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizul berkata, dana terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM60,000 dan diperoleh hasil sumbangan keluarga, rakan dan orang ramai.

"Terkejut juga bila doktor memaklumkan kos yang diperlukan untuk suntikan berkenaan.

"Namun, saya bersyukur kerana ramai prihatin dan berterima terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan.

"Selain sumbangan itu, saya turut berikhtiar dengan cara lain antaranya dengan memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor, Tabung Pesakit Kementerian Kesihatan (KKM) dan platform pendanaan awam dalam talian, Kitafund.

"Diharapkan, usaha itu berhasil kerana apa yang saya mahukan adalah melihat Nur Raysha sembuh," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun RHB, 11816100032652 atas nama Mohd Nizrul Abdul Khair.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:00 PM