Polis sedang menguruskan untuk membawa mayat Fakih ke HSNZ untuk proses bedah siasat selepas ditemui lemas di sungai Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas selepas mandi di muara sungai Kuala Ibai di Kuala Terengganu hari ini.

Mangsa, Fakih Abd Rahman Mohd Amran yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Kuala Ibai ditemui di dasar sungai itu pada 6.33 petang.

Difahamkan, mangsa mandi bersama dua rakannya yang juga berusia tujuh tahun kira-kira 5.30 petang.

Bagaimanapun, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan terkapai-kapai sebelum seorang daripadanya diselamatkan tukang masak di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima maklumat pada 5.55 petang sebelum lapan anggota bersama satu jentera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya menjalankan pencarian di permukaan air sebelum mayatnya ditemui di dasar sungai pada jarak 20 meter daripada lokasinya dilaporkan lemas.

“Ketika pencarian dijalankan, air surut tetapi arus agak laju dan mayatnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Azhar Mohammad, 30, berkata, dia yang sedang berbual bersama rakannya sebelum rakan mangsa datang meminta tolong.

“Dia bagi tahu dua kawannya lemas dan saya segera ke lokasi dan terjun ke sungai tetapi hanya sempat menyelamatkan seorang daripada mereka.

“Ketika itu, budak yang terselamat berada dalam keadaan lemah sementara rakan yang lain menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:05 PM