BERSYUKUR banyak pihak menaja majlis dengan perhiasan barang kemas cecah RM10 juta. FOTO: Azhar Ramli
Oleh Ramlah Zainal


BERTEMAKAN perkahwinan Inggeris dan malam muzikal, majlis resepsi pelakon Raja Ilya, 34, dan ahli perniagaan kelahiran Australia, Trent Garrett, 38, berlangsung meriah dan mewah di Magica Grand Hall, Star Avenue, Lifestyles Mall, Subang tanggal 19 September lalu.

Lebih bermakna, majlis resepsi pasangan ini untuk meraikan teman rapat, pihak media serta ahli keluarga terdekat kedua-dua pihak di sini.

Pada majlis itu, Raja Ilya menggayakan gaun pengantin rekaan Raffiey Nasir yang tampak mewah dengan perhiasan termasuk tiara tajaan daripada Habibs Jewels bernilai RM2.2 juta.

Malah, nilai keseluruhan perhiasan tajaan Habib Jewels untuk majlis malam berinai ‘Henna Night’ dan majlis resepsi juga bernilai RM10 juta.


ANTARA rakan artis yang hadir memeriahkan majlis resepsi.

Secara peribadi, Raja Ilya mengakui sangat bersyukur kerana banyak pihak terutama syarikat sudi menaja dua majlis meraikan perkahwinannya di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, banyak pihak bekerjasama dengan saya untuk merealisasikan majlis resepsi kami di Malaysia.

“Hati saya tersentuh dengan kerjasama diberikan barisan penaja, sekali gus berasa diri dihargai.

“Selain Habib Jewels, banyak syarikat dan pihak tertentu yang bekerjasama termasuk tajaan kek perkahwinan pada malam ini,” katanya.

Mengenai majlis resepsi yang diadakan selepas sembilan bulan berkahwin, kata Raja Ilya, ia terpaksa mengambil masa lama kerana agenda seninya yang padat sejak Oktober tahun lalu.

“Selain berlakon dalam projek drama bersiri, saya juga terbabit dengan program Travelog dan menerbitkan telefilem di bawah syarikat sendiri.

“Pada masa sama, saya juga mahu pastikan kulit yang rosak kerana penggambaran program Travelog sebelum ini pulih sebelum majlis resepsi di sini.


RAJA Ilya tampil menawan dengan gaun rekaan Raffiey Nasir.

“Justeru, kami sepakat memilih September untuk bersanding di sini,” katanya.

Majlis resepsi Raja Ilya dan pasangan turut disemarakkan dengan kehadiran ramai penggiat seni termasuk Datuk Yusof Haslam, Haji Zil, Salina Saibi, Josiah Hogan, Sheera Iskandar, Sherry Ibrahim, Rizal Jaafar dan Zarina Zainuddin.

Selain persembahan nyanyian Raja Ilya khusus untuk suaminya, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular Taufik Batisah dan Nita Hamzah.

Sehari sebelumnya, Raja Ilya mengadakan majlis malam berinai bertemakan ‘Henna Night’ yang berlangsung di Hotel New World Petaling Jaya.

Suami suka makan kari

Selepas berkahwin, Raja Ilya berkata, dia akan berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Perth kerana suaminya terbabit dengan perniagaan hartanah di Australia.

Menurut Raja Ilya, selain menceburi bisnes, suaminya juga bekas model yang turut meminati bidang lakonan.

“Saya juga tampilkan suami dalam drama terbitan produksi kami yang akan bersiaran di kaca TV.

“Mujur dialog dalam bahasa Inggeris kerana suami hanya boleh bertutur beberapa patah perkataan bahasa kita,”katanya.

Ditanya sajian kegemaran pula, kata Raja Ilya, suaminya suka dengan sajian makanan India.

“Demi melunaskan tanggungjawab sebagai isteri, saya belajar masak dan minta resipi daripada ibu.

“Antara sajian kegemaran suami ialah kari ayam, rendang daging dan makanan pedas,” katanya.

Raja Ilya dan Trent Garrett berkahwin di kediaman saudara ahli perniagaan itu di Perth dalam majlis tertutup dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak pada 23 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:25 AM