MUHAMMAD Zailani bersama Siti Juriah dan anak sulung mereka.
Ramli Ibrahim


“SAYA ambil upah menjahit kasut untuk menampung perbelanjaan keluarga,” kata Muhammad Zailani Shafien, 33, yang lumpuh akibat terjatuh dari pokok tualang, kira-kira lima tahun lalu.

Muhammad Zailani yang tinggal di Kampung Limau Kasturi di sini, berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan isteri, Siti Juriah Yusuf, 28, yang mencari pucuk paku untuk dijual.

Katanya, walaupun lumpuh dari paras pinggang ke bawah, dia tetap bertanggungjawab untuk menampung perbelanjaan isteri dan tiga anak.

“Saya bersyukur kerana boleh menjahit kasut kerana pernah belajar (menjahit kasut) sebelum berlaku tragedi ketika hendak mengambil madu lebah pada Jun 2014.

“Kerja menjahit kasut dilakukan di rumah sejak dua minggu lalu selepas keadaan terdesak kerana keluarga memerlukan perbelanjaan termasuk persekolahan dua daripada tiga anak berusia sembilan dan 10 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menceritakan detik cemas ketika jatuh dari pokok tualang setinggi 30 meter di Kampung Pulai, di sini, Muhammad Zailani berkata, dia bernasib baik kerana masih dipanjangkan usia.

Katanya, pinggangnya patah sehingga lumpuh dan lima tahun dia tidak boleh bergerak, namun kini mampu menggunakan kudrat mengambil upah menjahit kasut.

Katanya, walaupun pendapatan diperoleh sekitar RM10 sehari tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu perbelanjaan keluarga.

“Detik paling menyedihkan dalam hidup saya apabila anak sulung lelaki berusia 10 tahun ingin membeli sepasang kasut sukan tetapi tidak mampu ditunaikan kerana pendapatan isteri yang menjual pucuk paku sekitar RM6 hingga RM10 sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:35 AM