ANTARA pelumba haram yang ditahan mengubah suai kenderaan mereka.
AKSI pelumba haram ketika sedang berlumba.
POLIS memeriksa penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya.
SEKUMPULAN pelumba haram sedang beraksi di tengah jalan raya.
Nurul Hidayah Bahaudin


BIARPUN pernah tiga kali ditahan polis, namun seorang pelumba haram atau lebih dikenali sebagai joki tidak serik berlumba selepas ‘terpaut’ janji wang kemenangan yang lumayan.

Apa tidaknya, dia hanya mahu menyertai perlumbaaan yang mempertaruhkan nilai besar antara RM5,000 hingga RM160,000 sekali perlumbaan.

Lelaki yang mahu dikenali Danny (bukan nama sebenar) memaklumkan dia menjadi joki sejak dua tahun lalu dan menganggotai kumpulan pelumba sebuah bengkel di Lembah Klang sepanjang tempoh itu.

Katanya, dia joki sepenuh masa untuk bengkel itu, namun pada masa sama akan mewakili geng dari bengkel lain jika bengkel utama diwakili tidak bermain.

“Saya tidak memiliki motosikal sendiri, sebaliknya akan menunggang motosikal disediakan bengkel diwakili setiap kali menyertai perlumbaan.

“Ada dua jenis perlumbaan iaitu longgok dan 1VS1. Saya jarang menyertai perlumbaan longgok kerana ia terbuka kepada semua pelumba bergantung kepada jenis motosikal dan spesifikasinya selain nilai pertaruhan kecil.

“Perlumbaan 1VS1 pula membabitkan pertaruhan yang lebih besar yang diuruskan oleh pemilik bengkel diwakili dengan nilai ribuan ringgit,” katanya.

Danny yang juga penganggur mengakui, sepanjang tempoh dua tahun aktif menyertai perlumbaan haram, dia sudah menyertai lebih 50 perlumbaan.

“Dalam tempoh itu juga, saya tidak pernah terbabit dalam kemalangan, namun pernah ditahan polis sebanyak tiga kali.

“Banyak lokasi perlumbaan pernah saya sertai termasuk di Ipoh, Perak, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi di sekitar Selangor termasuk Klang dan Kajang,” katanya.

Katanya, pendapatan lumayan yang diperolehi sebagai joki menyebabkan dia memilih kegiatan itu sebagai punca pendapatan utama setiap kali menang perlumbaan.

“Dalam tempoh sebulan, saya hanya menyertai pertaruhan besar dengan nilai antara RM5,000 hingga RM160,000 dan daripada jumlah pertaruhan itu, saya boleh meraih lebih RM6,000 sebulan jika menang selepas menerima 10 peratus daripada nilai pertaruhan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi joki dikenali sebagai Math (bukan nama sebenar), 20-an, yang bekerja sebagai mekanik dan joki separuh masa berkata, minatnya terhadap motosikal menyebabkan dia menyertai perlumbaan haram.

“Saya sangat minat dengan motosikal sejak kecil lagi. Minat itu mendorong saya untuk mempelajari membaiki dan mengubah suai motosikal terutama membabitkan kelajuan.

“Bermula daripada itu, saya mula mencari kerja di bengkel untuk menambah pengalaman selain menyertai perlumbaan sejak setahun lalu selepas membeli motosikal Yamaha LC135,” katanya yang bekerja di sebuah bengkel di Kuala Lumpur.

Math berkata, dia banyak menyertai perlumbaan longgok dalam tempoh dua hingga tiga perlumbaan dalam tempoh seminggu.

“Kebiasaannya pertaruhan dibuat antara RM300 hingga RM1,000 saja, namun saya meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan kerana kerap menang.

“Selain mahu mendapatkan wang, saya menyertai perlumbaan kerana mahu menguji kelajuan motosikal saya yang sudah diubah suai. Saya kerap melakukan ubah suai motosikal kerana mahu ia berada di tahap terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:50 AM