Mohd Husni Mohd Noor


EMPAT ahli kumpulan samun bersenjata, Geng Sree yang terbabit dalam 21 kes jenayah di Selangor dan Negeri Sembilan ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah kondominium di Cyberjaya, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi di tempat letak kereta Kondominium Residen Skypark itu, empat suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, anggotanya terpaksa melepaskan tembakan selepas seorang suspek melepaskan tiga das tembakan terlebih dahulu sebelum polis bertindak balas.

Beliau berkata, empat suspek berkenaan dipercayai bersembunyi di kondominium itu selepas merompak satu keluarga di Taman Segar Perdana, Cheras, pada 7 pagi.

“Sebelum itu, suspek yang juga warga tempatan memecah masuk sebuah kediaman di Jalan 5/3, Taman Segar Perdana, sebelum melarikan wang tunai, barang berharga dan kereta Mercedes milik mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek.

“Maklumat dan risikan akhirnya berjaya mengesan kereta mangsa di tingkat bawah kawasan letak kereta kondominium itu sekitar 9.30 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, tiba-tiba seorang lelaki keluar dari dalam kereta Volkswagen Passat, yang diletakkan di sebelah kereta Mercedes berkenaan sebelum melepaskan tembakan ke arah polis.

Menurutnya, pada masa sama, seorang suspek bersenjatakan parang cuba menyerang polis dan beberapa lagi suspek lain turut melepaskan tembakan ke arah polis.


NOOR Azam (dua dari kiri) menunjukkan senjata digunakan penjenayah ditembak mati di sebuah condominium di Cyberjaya pada sidang media di IPD Sepang, hari ini. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

“Berlaku kejadian berbalas tembakan antara polis dan suspek sebelum semua suspek berjaya ditembak mati.

“Selain kereta mangsa, polis turut menemui barang disamun dari rumah di Taman Segar Perdana dalam kereta Mercedes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti tiga identiti suspek berkenaan, manakala seorang sedang dikenalpasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat sama ada masih ada saki baki kumpulan berkenaan.

“Kami berjaya menembak mati ketua kumpulan samun itu dikenali sebagai Sree dan siasatan mendapati, suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk curi, samun berkawan dan dadah sejak beberapa tahun lalu.

“Kami turut merampas dua pucuk pistol revolver dan baretta, tiga bilah parang, kelengkapan pecah rumah dan topeng muka daripada kereta dinaiki suspek.

“Siasatan mendapati, kumpulan ini melakukan samun di awal pagi dengan bersenjatakan parang sebelum mengumpulkan mangsa dalam sebuah bilik dan melarikan barang berharga.

“Sejak awal Januari hingga kini, pihaknya menerima 72 laporan rompakan menggunakan modus operandi sama dipercayai didalangi oleh beberapa kumpulan samun terutama di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati sepasukan anggota polis mengawal laluan keluar masuk ke tempat letak kereta kondominium berkenaan.

Semua mayat suspek dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 3.40 petang hari ini.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Suspek baru lepas samun rumah'

'Empat penjenayah ditembak mati'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 7:34 PM