GAJAH jantan liar berusia 30 tahun yang dijinakkan dan dipindahkan ke habitat baru, semalam

MERSING: Usaha ‘pikat’ gajah tua berusia 30 tahun dengan gajah betina jinak berjaya memindahkan mamalia itu ke habitat baru.

Itu antara usaha anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menggunakan tiga gajah denak betina bernama Abot, Pet dan Kasturi.

Kerja keras dilakukan anggota Perhilitan sekitar Hutan Simpan Tenggaroh, di sini, susulan aduan penduduk Felda Tenggaroh 6, Felda Tenggaroh Selatan 1 dan 2, Felcra Sedili Besar, Felda Tenggaroh Timur 2 serta kawasan sekitarnya terhadap ancaman seekor gajah jantan liar.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata, gajah liar itu ditangkap pada Khamis lalu di Hutan Simpan Tenggaroh di sini dan sedia dipindah di habitat baharu di negeri ini.

“Operasi menangkap gajah dianggarkan berumur 30 tahun itu membabitkan 30 kakitangan Jabatan Perhilitan Johor dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.

“Tiga gajah denak bernama Abot, Pet dan Kasturi membantu menjinak dan memindahkan gajah liar ke kawasan selamat jam 1 pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, pihak Perhilitan membebaskan gajah itu di habitat lebih sesuai, selamat serta ada sumber makanan mencukupi supaya ia tidak meninggalkan kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, kami memantau baki gajah yang tersesat ke kawasan itu dan menangkapnya jika perlu sebelum dibebaskan ke kawasan sama.

“Jika perlu kami guna khidmat Abot, Pet dan Kasturi yang dibawa pulang ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:40 AM