NUR Atikah masih dirawat di HKL selepas selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian paru-baru sebelah kiri, Isnin lalu. (Gambar kanan) Nur Atikah dan Muhammad Zarul dijadualkan bernikah pada 26 Oktober ini. FOTO ihsan Nur Atikah Hamidon.
Redzuan Muharam


“SAYA akan teruskan majlis perkahwinan itu kerana persiapan sudah dilakukan dan tidak mahu menyusahkan keluarga serta mereka yang membantu,” kata Nur Atikah Hamidon.

Nur Atikah, 27, mencuri perhatian warganet selepas berkongsi kisahnya menghidap barah Synovial Sarcoma iaitu ketumbuhan pada paru-paru tahap empat sejak dua bulan lalu.

Ciapan dimuat naik di Twitter itu mengundang rasa sebak warganet kerana Nur Atikah turut menyatakan harapan untuk sembuh dan keinginannya untuk memakai persalinan pengantin pada majlis pernikahan dengan tunangnya, Muhammad Zarul Syafiq Abu Bakar, 27, pada 26 Oktober depan.

Nur Atikah berkata, dia dimaklumkan menghidap penyakit berkenaan kira-kira dua bulan lalu iaitu tidak lama selepas mengikat tali pertunangan dengan Muhammad Zarul.

Menurutnya, bukan mudah untuk menerima hakikat itu, tetapi keluarganya dan Muhammad Zarul banyak memberinya semangat untuk melawan penyakit berkenaan.

“Selepas disahkan menghidap barah, saya menangis kerana bimbang tidak dapat hidup lama memandangkan baru saja bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga.

“Namun, tunang banyak memberi kata semangat kepada saya untuk kuat, malah dia orang pertama yang tahu mengenainya kerana menemani saya ke hospital pada waktu itu.

“Dia berjanji tidak akan meninggalkan saya dan dari situ, saya dapat kekuatan untuk mengharungi dan reda dengan ujian ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nur Atikah berkata, dia selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian paru-baru sebelah kiri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin lalu.

Menurutnya, buat masa ini, dia masih ditahan di wad dan tidak tahu bila akan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi berharap kesihatannya beransur baik kerana nekad meneruskan majlis perkahwinan dirancang.

“Saya dan tunang berkenalan sejak 10 tahun lalu dan pada mulanya, kami hanyalah sekadar kawan karib yang mengambil berat antara satu sama lain.

“Selepas sekian selama berkawan, kami menjalin hubungan cinta lapan bulan lalu sebelum mengikat tali pertunangan dan bakal bergelar suami isteri tidak lama lagi.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu majlis itu dibatalkan hanya kerana penyakit ini memandangkan semua persiapan sudah dibuat kedua-dua pihak dan hanya menghitung hari untuk kami diijabkabulkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zarul berkata, dia reda dan menganggap apa yang berlaku itu sebahagian ujian untuk menguji kesetiaannya terhadap Nur Atikah.

Katanya, sebagai pasangan, dia akan sentiasa memberi semangat supaya Nur Atikah supaya terus kuat dan tidak sesekali berputus asa untuk meneruskan hidup.

“Apa yang berlaku tidak akan menyebabkan saya berubah hati, jauh sekali meninggalkannya (Nur Atikah) kerana kami sudah lama berkenalan dan sayangkan satu sama lain.

“Buat masa ini, fokus saya adalah menjaga serta memantau kesihatannya dengan harapan dia dan sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 10:00 PM