Remy gelisah setiap kali nanti filem lakonannya ditayangkan. FOTO Ihsan Nizar Hafiz Mustafa @nizarhafizmustafa
Remy gelisah setiap kali nanti filem lakonannya ditayangkan. FOTO Ihsan Nizar Hafiz Mustafa @nizarhafizmustafa
Ramlah Zainal


SUKAR untuk menidakkan aura pelakon terkemuka Remy Ishak yang turut mendapat jolokan Hero Pujaan Malaya ini.

Pada usia 37 tahun, nama pelakon kacak ini terus menjadi buruan penerbit dan pengarah untuk beraksi sebagai hero dalam drama dan filem sejak lebih sedekad lalu.

Pada tahun ini, Remy mempertaruhkan dua filem lakonannya iaitu filem aksi, Sangkar dan genre seram Dendam Pontianak.

Filem Sangkar arahan Khabir Bhatia yang juga gandingannya bersama Zul Ariffin berjaya mencatat kutipan ‘box office’ sebanyak RM10.3 juta dalam tempoh 17 hari tayangan sejak 29 Ogos lalu.

Filem Dendam Pontianak arahan Glen Goei dan Gavin Yap pula turut memberangsangkan dengan kutipan lebih RM1.5 juta selepas seminggu tayangan. Filem itu turut ditayangkan di Singapura sejak 29 Ogos lalu.

Remy ketika ditemui berkata, dia mengakui dua projek filem hebat itu adalah permulaan cukup bagus selepas 15 tahun bergelar pelakon.

“Saya harap Sangkar dan Dendam Pontianak adalah permulaan era baru dalam karier saya. Ramai pihak mula membuka mata dengan bakat lakonan saya termasuk tawaran berlakon di Indonesia,” katanya.

Walaupun berpengalaman, Remy tetap tidak dapat menyembunyikan debaran setiap kali menanti filem lakonannya ditayangkan.

“Cita rasa penonton kita terhadap filem sebenarnya mengikut musim dan sukar diramalkan sekarang. Saya sendiri tidak tahu genre apa yang disukai penonton.

“Ada filem yang meletup kerana gandingan pelakonnya hebat dan ada juga filem yang dapat sambutan tapi gandingan pelakonnya biasa saja," katanya.


Remy berkata, sebagai pelakon dia sentiasa pastikan yang terbaik pada lakonan dan hanya menyerahkan kepada penonton untuk menilai hasilnya. Apa yang penting, penonton turut terhibur," katanya.

Mengenai prestasi lakonan pula, kata Remy, dia banyak menonton filem tempatan dan antarabangsa untuk memantapkan kemampuan lakonannya.

“Pelakon sejati tidak pernah puas dengan prestasi lakonannya. Justeru, jika tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran, saya banyak mengisi masa dengan menonton filem.

“Dalam sehari, saya akan menonton lebih daripada tujuh filem. Itulah cara saya berehat di rumah,” katanya.

Sebagai pelakon, kata Remy, dia juga banyak bertanya dengan pengarah filem mana yang bagus untuk ditonton, sekali gus mendapat ilmu dalam lakonan.

“Saya juga baru selesai menonton filem muzikal Hollywood iaitu The Greatest Showman lakonan Hugh Jackman. Bukan senang mahu berlakon filem muzikal kerana kita bukan saja berlakon tetapi perlu menguasai nyanyian dan tarian sekali gus," katanya.

Ditanya genre filem pilihan, Remy mengakui dia meminati filem genre aksi dari Asia.

"Berdasarkan aspek pembikinan filem, filem Asia lebih dekat dengan jiwa kita kerana filem Hollywood lebih teknikal.

“Pada masa sama, jiwa Melayu saya sangat kuat dan jika ada tawaran berlakon filem Hollywood pun biarlah ia tetap memaparkan jati diri Melayu.

“Saya tidak setuju jika produser dari luar negara menghasilkan cerita sejarah tempatan seperti Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang tetapi banyak fakta sejarah ditukar,” katanya.


MAHU JADI PRODUSER

Sebagai pelakon sejati, Remy tidak meletakkan tempoh tertentu pembabitannya dalam bidang lakonan.

Menurutnya, dia tidak pernah puas dengan pencapaiannya dalam bidang lakonan ketika ini.

“Saya juga mahu menjadi pengarah dan bergelar produser pada usia 45 tahun nanti. Malah, saya sudah mula berjinak-jinak dalam kerja pengarahan ketika di lokasi penggambaran.

"Saya bukan setakat berlakon dan memahami skrip di lokasi, sebaliknya banyak ilmu pengarahan dan perfileman yang dipelajari dalam tempoh 15 tahun pembabitan dalam bidang lakonan,” katanya.

Diminta pandangan mengenai bakat baru yang mewarnai bidang seni pula, kata Remy, dia tidak ada masalah untuk berkongsi ilmu lakonan dengan mereka.

“Saya juga bermula dari bawah dan belajar sendiri ilmu lakonan dengan pelakon senior di lokasi penggambaran pada tempoh lima tahun pertama dalam bidang lakonan dulu.

“Terus terang, saya juga segan dengan Maya Karin dan Datuk Farid Kamil ketika mula berlakon bersama mereka dalam filem Anak Halal dulu,” katanya.

Apapun, kata Remy, setiap pelakon melalui fasa yang berbeza.

“Sebab itu, saya akan pastikan pelakon baru berasa selesa bila berlakon di samping saya di lokasi tetapi ada juga pelakon baru yang berlagak diva,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Remy akan berehat seketika daripada bidang seni selepas promosi dua filem lakonannya itu selesai.

“Saya mahu berehat bersama keluarga sebelum kembali semula dengan projek baru lakonan tahun depan,” katanya.

TAJAAN

Solekan: VieAleXenddra @queenxenddra_

Lokasi: Red Hotel Kuala Lumpur

Terima Kasih kepada Pengarah Komunikasi Pemasaran, Sirocco Hospitality Group Sdn Bhd, Warren Fernandez & Penolong Pengurus Perhubungan Awam & Komunikasi, Safwan Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 6:10 AM